Oleh Imelda Groves HA & Norizan Murshid
BANDAR SERI BEGAWAN, 20 Ogos – Lebih 100 orang pengunjung telah hadir pada hari pertama Pameran Pendidikan Malaysia, Yes2Malaysia diadakan di Hotel Orchid Garden, Berakas, di sini, hari ini.
Pameran dua hari berkenaan bertujuan untuk memberikan peluang kepada para pelajar yang bersama ibu bapa dan penjaga mereka untuk mengetahui lebih lanjut lagi pendidikan dan universiti yang ditawarkan di Malaysia.
Pengarah Urusan Rexpo Sdn Bhd, Mohd Reza Chin Abdullah ketika ditemu bual menjelaskan, sebanyak 24 universiti awam dan swasta dari Malaysia menyertai pameran berkenaan.
“Sambutan sangat mengalakkan apabila seawal 2 petang lagi para pengunjung mula hadir untuk mendapatkan konsultasi dan seterusnya mendaftar ke universiti-universiti pilihan masing-masing,” jelasnya.
Menurutnya lagi, ini adalah tahun ke-11 Syarikat Rexpo Sdn Bhd menganjurkan pameran pendidikan Malaysia di negara ini.
Katanya, faktor jarak antara Brunei dan Malaysia adalah antara kelebihan yang menjadi pilihan para pelajar dan ibu bapa untuk meneruskan pendidikan mereka di Malaysia dan seterusnya nilai mata wang yang sudah setentunya memudahkan para pelajar untuk hidup berdikari di negara luar.
Di samping itu, sijil dan kelulusan dari universiti di Malaysia diiktiraf oleh Kementerian Pendidikan, Negara Brunei Darussalam.
Bagi tahun ini, pihak penganjur menawarkan 1,000 tiket penerbangan percuma kepada pelajar yang memohon untuk menuntut di Malaysia.