Oleh Sim Y. H. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 10 SEPT – Dengan matlamat untuk memperkenalkan sejarah dan tarikan makanan popular susyi Jepun, pameran kesenian bergerak Yayasan Jepun, I Love Sushi, dirasmikan dalam sebuah majlis perasmian yang berlangsung di Muzium Teknologi Melayu, hari ini.
Hadir bagi merasmikan pameran berkenaan ialah Pemangku Timbalan Setiausaha Tetap (Dasar dan Korporat), Kementerian Pendidikan, Pengiran Dr Mohammad Iskandar bin Pengiran Haji Petra dan Duta Jepun ke Negara Brunei Darussalam, Tuan Yang Terutama Kikuta Yutaka.
Dalam ucapan alu-aluannya, TYT Kikuta menyatakan bahawa pameran berkenaan memberikan peluang kepada para pengunjung untuk mengenali sejarah, budaya dan tradisi masyarakat Jepun khususnya makanan Jepun yang dikenali ramai, susyi.
Beliau menyatakan bahawa populariti hidangan susyi merentas pelbagai sempadan dan budaya dengan setiap negara turut mempunyai versi susyi yang telah dipadankan dengan cita rasa mereka tersendiri.
TYT Kikuta turut menyatakan bahawa ia merupakan satu perkembangan yang baik di mana ia menunjukkan perpaduan pelbagai masyarakat yang dihubungkan menerusi minat mendalam kepada hidangan susyi.




Majlis seterusnya menyaksikan perasmian pameran yang disempurnakan bersama oleh Pengiran Dr Mohammad Iskandar dan TYT Kikuta serta diteruskan dengan sesi lawatan untuk menyaksikan dengan lebih dekat karya seni serta barangan pameran yang diketengahkan dalam pameran berkenaan.
Pameran seni, I Love Sushi, dianjurkan bersama oleh Kedutaan Jepun di Negara Brunei Darussalam, Yayasan Jepun dan Muzium Teknologi Melayu di mana pameran dibukakan bagi kunjungan orang ramai bermula 10 September hingga 5 Oktober.
Pada 2013, UNESCO telah memasukkan washoku iaitu masakan Jepun ke dalam senarai warisan budaya dengan susyi sebagai contoh archetypal.
Pameran itu bermatlamat untuk memperkenalkan sejarah dan tarikan susyi, sejenis makanan Jepun popular diseluruh dunia termasuk Brunei serta menyediakan peluang untuk mendalami kefahaman bersama dan pertukaran budaya di antara Jepun dan Brunei.
Pameran itu mengetengahkan seni tradisional Jepun, ukiyoe, iaitu cetakan blok kayu yang menggambarkan kehidupan masyarakat Jepun dengan susyi dalam abad ke-19, figura makanan laut, sampel makanan realistik serta sebuah replika restoran susyi Jepun, di mana kesemuanya mengetengahkan budaya dan sejarah Jepun.

