Sunday, May 11, 2025
25 C
Brunei

    Berita Terkini

    Pameran, persembahan ketengah pertanian

    Oleh Salawati Haji Yahya & Sim Y.H

    BANDAR SERI BEGAWAN, 27 JUN – Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah di Pusat Persidangan Antarabangsa Berakas (ICC) turut dimeriahkan dengan pameran dan persembahan yang mengetengahkan tentang pertanian di negara ini.

    Konsep pameran adalah sebagai platform match-making di antara para pengusaha pertanian dan agrimakanan bersama agensi pemasaran produk pertanian dan agrimakanan yang berjaya selaku peneraju dalam penghasilan dan pemasaran produk.

    Pada pameran itu, enam kategori diketengahkan iaitu Kategori Kementerian Sumber-sumber Utama dan Pelancongan (KSSUP), Kategori Agensi, Kategori Pasar Raya, Kategori Perkhidmatan Sajian (katering), Kategori Perladangan Kontrak dan Eksport dan Kategori Syarikat-syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) yang memainkan peranan masing-masing dalam pemasaran para pengusaha pertanian dan agrimakanan di negara ini.

    Bagi Kategori KSSUP, Jabatan Pertanian dan Agrimakanan mempunyai beberapa inisiatif yang mendukung pengeluaran produk-produk pertanian tempatan untuk memenuhi keperluan pasaran domestik dan eksport.

    Ini seperti penyediaan tapak kawasan pertanian dan infrastruktur asas ladang, bantuan khidmat dokongan dan nasihat teknikal, Program Pendedahan Perusahaan Pertanian untuk Para Belia, Projek Rintis Pertanian, Perladangan Berkontrak, Pemadanan Penghasilan Tempatan dengan Permintaan Pasaran, Program Hasil Segar Ladang Kitani dan Memudahcara Menepati Piawaian Antarabangsa untuk Keselamatan Makanan (Food Safety).

    Antara persembahan yang mengetengahkan konsep pertanian. – Gambar oleh Muiz Matdani

    Manakala melalui Jabatan Perikanan, inisiatif-inisiatif bagi meningkatkan industri akuakultur, industri penangkapan ikan, industri pemprosesan ikan dan pertumbuhan bagi pasaran eksport juga giat dijalankan dengan menggunakan beberapa program seperti Membuka Pelaburan, Perladangan Kontrak, Program Pensijilan dan Pengiktirafan, dan Program Biosekuriti.

    Sementara itu, bagi Kategori Pasar Raya ia menampilkan antara tiga pasar raya terbesar di negara ini iaitu Hua Ho Department Store, Supa Save (Smart (B) Sdn Bhd) dan Sim Kim Huat Trading Co Sdn Bhd (SKH) yang berperanan penting dalam memasarkan produk-produk tempatan.

    Kategori Perkhidmatan Sajian pula mendukung pengusaha-pengusaha pertanian dan perikanan di negara ini bagi mendapatkan bekalan yang segar, di mana penggunaan produk bersumberkan tempatan juga dapat mengurangkan kos operasi.

    Royal Brunei Catering Sdn Bhd (RBC) antara penyedia perkhidmatan terbesar dalam industri sajian termasuk restoran-restoran, hidangan dalam penerbangan dan juga hospital. Persatuan Hotel-hotel Brunei juga berperanan di dalam pemasaran produk pertanian dan perikanan.

    Manakala, Kategori Perladangan Kontrak juga adalah salah satu cara dalam pemasaran produk pertanian, agrimakanan dan perikanan.

    Terdapat beberapa syarikat yang telah, sedang dan akan terlibat dalam perladangan kontrak bersama para pengusaha pertanian, agrimakanan dan perikanan bagi pembekalan yang sempurna dan konsisten.

    Beberapa syarikat juga menjadi collection service provider di mana syarikat tersebut melibatkan beberapa peladang-peladang kecil dan membeli semula hasil tanaman untuk dieksport.

    Dalam sektor GLC, Syarikat Ghanim International Sdn Bhd berperanan sebagai ejen pemasaran dengan pembelian produk daripada pengusaha tempatan dan penjenamaan semula bagi tujuan pemasaran yang efektif untuk pasaran eksport.

    Majlis tersebut turut diserikan dengan persembahan daripada gabungan kanak-kanak TASKA, sekolah rendah dan menengah Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah, di mana persembahan secara keseluruhan adalah berpaksikan kepada pembangunan pertanian di negara ini, yang mana keutamaannya adalah bagi melestarikan budaya hidup tegar dan tidak mudah berputus asa.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda