Thursday, January 23, 2025
29.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Pameran projek kreatif pelajar Kolej IGS

    Oleh Nurdiyanah R. –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 22 JAN – Seramai 45 pelajar tahun akhir Kolej Pengajian Siswazah Antarabangsa (IGS) dengan kerjasama Thryffy telah membuka tirai Pameran VIBE ke-17 yang berlangsung di Rimba Point, hari ini.

    Pameran VIBE ke-17 yang diadakan dua kali setahun itu dianjurkan oleh para pelajar tahun akhir Kolej IGS bagi mempamerkan hasil kerja kreatif dan profesional daripada pelajar-pelajar Kolej IGS yang bertumpu pada seni kreatif, reka bentuk, multimedia dan juga teknologi maklumat.

    Hadir selaku tetamu kehormat bagi merasmikan pameran yang dijangka diadakan sehingga 25 Januari itu ialah Pemangku Pengarah Jabatan Muzium-muzium, Pengiran Haji Rosli bin Pengiran Haji Halus.

    Turut hadir menyaksikan kemeriahan majlis berkenaan ialah wakil-wakil dari sektor kerajaan dan swasta yang terdiri daripada industri kreatif, industri media, industri keusahawanan dan industri teknologi maklumat.

    Majlis pelancaran pada petang itu telah dimulakan dengan bacaan doa yang disampaikan oleh Awang Kasyfur Rahman bin Haji Johari diikuti ucapan alu-aluan yang disampaikan oleh Frencis Mae Catchero Tima-an selaku ahli jawatankuasa majlis dari Fakulti Seni dan Kemanusiaan.

    Antara pelajar Kolej IGS yang menyertai pameran di Rimba Point, kelmarin. – GAMBAR OLEH NURDIYANAH R.
    Pengiran Haji Rosli bergambar ramai bersama para pelajar semasa pameran. – GAMBAR OLEH NURDIYANAH R.

    Pameran berkenaan antara lain bertujuan menyediakan platform untuk kemahiran kreatif dan profesional bagi menyediakan keperluan industri sambil mengambil kira potensi para pelajar yang turut serta.

    Selain itu, ia juga memperkembangkan pengalaman pelajar dan berkongsi pengetahuan dalam industri media serta mengendalikan pengurusan acara bersama rakan pelajar yang lain.

    Sementara itu, ia juga mendedahkan program-program yang ditawarkan di Kolej IGS yang bukan hanya tertumpu dalam bidang seni kreatif, media dan teknologi malah bidang lain yang boleh diguna pakai untuk masa hadapan para pelajar.

    Sepanjang acara berlangsung, ia juga akan diselitkan dengan siri taklimat dan beberapa aktiviti menarik yang dirancang oleh para pelajar sendiri.

    Turut menyertai aktiviti berkenaan ialah pengusaha mikro, kecil dan sederhana yang mengadakan jualan makanan dan minuman, barang-barang aksesori buatan tangan dan banyak lagi dengan kerjasama jualan-jualan dari Thryffy.

    Acara itu dibukakan kepada kunjungan orang ramai bermula dari pukul 11 pagi hingga 7 malam kecuali hari Jumaat bermula dari jam 2:30 petang hingga 8 malam.

    Kolej IGS berharap pameran tersebut menjadi acara penting yang bukan sahaja mempamerkan bakat dan kreativiti pelajar tetapi juga mempertahankan pendidikan seni kreatif, media, teknologi dan keusahawanan di Negara Brunei Darussalam demi menyahut Wawasan Brunei 2035 untuk menjadikan rakyat yang berpendidikan dan berkemahiran tinggi.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda