Oleh Daniel Lim
BELAIT, 6 NOV – Pelajar dari Institut Pendidikan Teknikal Brunei (IBTE) Kampus Sultan Bolkiah (SBC) mempamerkan kebanggaan dan warisan Brunei dalam Pameran Projek Tahun Akhir yang telah diadakan selama dua hari bermula kelmarin di Kelab Rekreasi Brunei Shell (BSRC), Panaga Seria.
Pameran tersebut melibatkan pelajar Tahun Akhir berkumpulan dari Program NTec Manufacturing and Maintenance, NTec Information and Technology, dan HNTec Business (Business Management).
Pameran dengan tema Warisan Brunei itu menggariskan komitmen berterusan IBTE untuk merapatkan jurang pendidikan dan industri dengan menyediakan platform untuk pelajar menunjukkan kemahiran teknikal, kreativiti dan ciri keusahawanan mereka dalam menangani cabaran dunia sebenar.
Ia juga mencerminkan misi IBTE untuk memupuk graduan yang sedia bekerja yang bukan sahaja cekap dan inovatif tetapi juga beretika dan mampu menyumbang kepada pembangunan ekonomi dan sosial Negara Brunei Darussalam.
Hadir untuk merasmikan pameran adalah Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah IBTE, Dr Haji Mohd Zamri bin Haji Sabli, yang disambut oleh pengerusi pameran, Dk Syazwani Nur Afida binti Pengiran Mahmud.

Dalam majlis perasmian pagi kelmarin, Dk Syazwani Nur Afida menjelaskan bahawa, “kami bukan sekadar mempamerkan projek tahun akhir. Kami juga menyaksikan persembahan nilai-nilai teras IBTE yang merupakan asas setiap pencapaian kami pada hari ini.”
Beliau menyatakan bahawa pameran ini membantu mewujudkan platform untuk pelajar mengaplikasikan kecekapan teknikal dan keusahawanan kepada cabaran dunia sebenar.

“Ia mencerminkan komitmen kami untuk memupuk graduan yang sedia bekerja yang bukan sahaja mahir tetapi juga beretika, kreatif, dan mampu menyumbang secara bermakna kepada kemajuan ekonomi dan sosial Brunei.”
Majlis diteruskan dengan perasmian oleh tetamu kehormat dan penyerahan sijil kepada wakil pelajar daripada setiap program terlibat.
Tetamu kehormat dan rakan industri jemputan juga dibawa melawat pameran untuk meneroka hasil kerja inovatif dan berinteraksi dengan pelajar.
Semua di atas: Tetamu kehormat melawat antara pameran yang disediakan.
