Oleh Salawati Haji Yahya
TUTONG, 4 OGOS – Dalam usaha mendidik dan meningkatan kesedaran orang ramai dalam mengukuhkan rantaian Penyusuan Susu Ibu (PSI) dan membangunkan sistem sokongan yang mampan, pameran PSI telah diadakan di lobi Hospital Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, hari ini.
Pameran sempena Minggu Penyusuan Susu Ibu Sedunia ini merupakan aktiviti tahunan yang disambut pada setiap bulan Ogos setiap tahun dengan tema Membangun Sistem Sokongan Yang Mampan.
Walaupun mempunyai tema berbeza setiap kali penganjuran, namun sambutan berkenaan bertujuan meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai isu-isu berkaitan PSI
Antara lain tujuan pameran anjuran Perkhidmatan Obstetrik dan Ginekologi, hospital berkenaan adalah untuk meningkatkan komitmen jururawat dalam memberi pendidikan kesihatan penyusuan susu ibu serta berinteraksi dengan orang ramai untuk mendidik masyarakat mengenai kepentingan PSI.
Sementara itu, pameran yang bermula pukul 8 pagi hingga 12 tengah hari tersebut turut mempamerkan poster-poster yang berkaitan dengan pendidikan penyusuan susu ibu, termasuk model-model payudara, saiz perut anak damit, serta kaedah penyimpanan susu ibu yang betul.
Di samping beberapa aktiviti-aktiviti menarik di sediakan untuk menarik minat para pengunjung hospital yang antaranya sesi interaksi dengan pengunjung hospital, sesi khidmat nasihat dan sokongan PSI juga akan diadakan secara walk-in.
Pameran berkenaan diadakan di Klinik Obstetrik dan Ginekologi bermula pada 1 hingga 7 Ogos ini.
Perkhidmatan Obstetrik dan Ginekologi, Hospital Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah juga turut akan memulakan perkhidmatan baharu iaitu Perkhidmatan Sokongan Penyusuan Susu Ibu untuk ibu-ibu yang telah melahirkan anak damit tetapi menghadapi kesukaran menyusukan anak mereka.
Turut hadir pada sambutan tersebut adalah para pegawai serta kakitangan Hospital Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah.




