Jumaat, 21 November 2025
24.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Pameran pupuk kemahiran, kreativiti pelajar

    BANDAR SERI BEGAWAN, 30 OKT – Sekolah Teknologi Maklumat dan Komunikasi (SICT) serta Sekolah Perdagangan (SBS), Politeknik Brunei (PB) telah menganjurkan Pameran Projek Akhir Tahun Semester 1, Sesi 2025/2026, dengan tema Unity in Diversity, yang mengetengahkan kreativiti, pemikiran kritis dan keupayaan para pelajar dalam menyelesaikan masalah merentasi pelbagai bidang kepakaran.

    Pameran selama dua hari bermula kelmarin hingga hari ini yang diadakan di Dewan Pusat Pembelajaran Sepanjang Hayat (L3C), Lambak Kanan, itu dikendalikan oleh pelajar tahun akhir daripada Program Diploma dalam Pengajian Bisnes (Pengurusan Sumber Tenaga Manusia) pengambilan ke-12 serta Program Diploma dalam Pengurusan Kewangan Manusia, Diploma dalam Strategi Pemasaran dan Keusahawanan, Diploma dalam Media dan Seni Digital, Diploma dalam Pembangunan Aplikasi, Diploma dalam Rangkaian dan Cloud, dan Diploma dalam Analisis Data pengambilan ke-13 (Januari).

    Hadir selaku tetamu kehormat sekali gus merasmikan acara tersebut ialah Ketua Pusat Inovasi Keusahawanan, Kementerian Pendidikan, Awang Adna Shatriremie bin Haji A Abdul Rahman, yang kemudiannya turut menyempurnakan penyampaian sijil penghargaan kepada para pelajar.

    Pameran tersebut berperanan sebagai platform penting bagi para pelajar untuk mempamerkan hasil kajian, kemahiran teknikal serta kreativiti yang telah dibangunkan sepanjang tempoh pengajian mereka. Ia telah memberikan pengiktirafan terhadap pencapaian para pelajar dalam bidang perdagangan, media serta teknologi maklumat dan komunikasi, sambil membuka ruang kepada pertukaran idea dan pemikiran inovatif.

    Selaras dengan tema Unity in Diversity, pameran itu menonjolkan kepelbagaian program pengajian yang saling melengkapi dalam membentuk penyelesaian masa depan yang lebih mampan dan berdaya saing. Acara tersebut juga telah menjadi jambatan penghubung antara pelajar, pakar industri dan ahli akademik bagi memperkukuhkan jaringan profesional, kerjasama strategik serta perkongsian pengetahuan yang berkesan.

    Para pelajar tahun akhir PB bergambar ramai semasa pameran tersebut. – GAMBAR SERAHAN PB
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda