BEIJING, 18 OGOS – Dengan mengenyitkan mata, mengerutkan wajah atau menganggukkan kepala, robot mampu meniru ekspresi pengunjung di sebuah pameran robot yang diadakan di Beijing.
Robot-robot tersebut adalah antara hasil ciptaan yang memukau para pengunjung yang menghadiri Persidangan Robot Dunia (WRC) tahunan, di mana beberapa syarikat mempamerkan robot yang direka khas untuk pelbagai kegunaan, termasuk pembuatan, pembedahan dan sebagai teman.
Kepala animatronik dan robot humanoid yang dipamerkan di petak EX Robots minggu ini mengumpulkan imej tentang robot yang sepatutnya berada dalam imaginasi popular, dengan kulit sintetik dan ekspresi wajah seperti manusia yang dilengkapi dengan lengan dan tangan yang bergerak.
Ketua Pegawai Eksekutif, Li Boyang berkata ia sesuai digunakan dalam peranan yang melibatkan interaksi dengan orang ramai, seperti di muzium, tarikan pelancongan, persekitaran sekolah dan ‘senario rakan.’
Doggie droid, sebuah robot yang menjadi tarikan dan memeriahkan suasana di pameran teknologi tersebut. Robot anjing itu mampu berjabat tangan dengan para pengunjung pameran berkenaan dan ia juga mampu melakukan aksi berdiri dengan hanya menggunakan dua kaki hadapannya.
Di bahagian lain pameran berkenaan, turut dipamerkan satu bentuk lengan robotik yang mampu menghidangkan teh Cina, menyediakan kon ais krim, melantunkan bola ping pong sekali gus memberikan urutan belakang kepada para pengunjung.
Tidak ketinggalan juga sebuah robot penuaian yang menunjukkan bagaimana ia memetik epal dari dahan pokok manakala robot artis pula mempamerkan kehebatannya melukis potret para pengunjung di pameran berkenaan.
Selain itu, lengan robot industri untuk kilang pengeluaran juga menarik tumpuan. Salah satu matlamat pemimpin China, Xi Jinping adalah untuk mengalihkan sektor pembuatan negara yang luas daripada penciptaan barangan murah yang berkos rendah kepada pengeluaran yang lebih berteknologi tinggi, di mana robot industri akan menjadi elemen penting dalam rancangan itu. – AP