Friday, May 9, 2025
31.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Pameran Rumah di BIBD, Kiulap esok

    BANDAR SERI BEGAWAN, 13 April – Selepas mendapat sokongan yang sangat positif semasa acara Belait Ku Ceria baru-baru ini, Pameran Rumah Bank Islam Brunei Darussalam (BIBD) akan diteruskan lagi di cawangannya di Kiulap pada 15 April ini sebagai usaha berterusan BIBD untuk mempromosikan kepentingan dan manfaat pemilikan rumah.

    BIBD dalam kenyataannya menyatakan bahawa dengan memfokuskan tema ‘BIBD – Making Your Home You’, Pameran Rumah ke-10 BIBD itu juga menampilkan rakan-rakan seperti Koppla, The Potters, Alsa Living dan Toolbox.

    Syarikat-syarikat berkenaan, mengetengahkan produk-produk mereka daripada barangan rumah, perabot dan barangan buat sendiri (DIY), akan melengkapkan tawaran BIBD sebagai sebahagian daripada komitmennya untuk memberikan lebih banyak kemudahan dalam bentuk penyelesaian sehenti kepada semua pelanggannya.

    Ketua Perbankan Runcit BIBD, Hajah Nurul Akmar binti Haji Mohd Jaafar melahirkan kegembiraannya atas kejayaan pusingan pertama Pameran Rumah ke-10 BIBD itu.

    “Alhamdulillah, BIBD gembira kerana dapat menjadi sebahagian daripada perjalanan pelanggan ke arah mencapai rumah impian mereka. Pada masa yang sama, BIBD juga komited kepada memperkasa pelanggan untuk memberikan ciri tersendiri ke dalam rumah mereka dan menjadikan rumah mereka benar-benar milik mereka,” katanya dalam kenyataan berkenaan.

    Suasana Pameran Rumah BIBD semasa acara Belait Ku Ceria baru-baru ini.
    Suasana Pameran Rumah BIBD semasa acara Belait Ku Ceria baru-baru ini.

    Serupa dengan siri-siri pameran rumah sebelumnya, acara berkenaan juga diisi dengan bengkel-bengkel berkaitan dengan aktiviti-aktiviti yang menyediakan pelanggan dengan pemahaman dan keupayaan untuk menggaya dan memperkaya rumah mereka sendiri berdasarkan cita rasa mereka, di samping dengan peralatan dan barangan yang diperlukan.

    Bagi menyokong usahawan-usahawan muda, menurut kenyataan itu lagi, lebih 30 vendor dari Daerah Brunei dan Muara dan Belait juga diberikan peluang untuk menampilkan produk-produk dan perkhidmatan mereka.

    Dalam pada itu, BIBD kini juga sedang mengadakan pusingan kedua Kempen Jerayawara ‘Digital, Coffee, And You’ di Cawangan Tanjung Bunut di mana ia berlangsung selama tiga hari bermula hari ini.

    Menurut kenyataan BIBD, jerayawara berkenaan merupakan komitmen bank ke arah meningkatkan kesedaran mengenai produk-produk dan perkhidmatannya. Menerusi jerayawara berkenaan, BIBD memberikan lebih pemahaman dan menjelaskan manfaat perkhidmatan, keupayaan dan kemudahan perbankan digitalnya. Pada masa yang sama, ini adalah untuk menyelaraskan dengan komitmen BIBD untuk menyediakan pelanggannya dengan penyelesaian perbankan terbaik.

    Jerayawara berkenaan akan diteruskan lagi di Cawangan Manggis pada 20 hingga 22 April dan Cawangan Serusop pada 27 hingga 29 April depan.

    Sebagai sebahagian daripada jerayawara tersebut, BIBD juga menyediakan hadiah-hadiah, diskaun bagi bayaran pemprosesan dan secawan kopi percuma bagi permohonan Pembiayaan Peribadi, Pembiayaan Rumah, Skim Penyatuan Pembiayaan dan pendaftaran bagi BIBD Mobile serta vCard.

    Selain itu, selaras dengan tema jerayawara dan untuk menyokong perniagaan-perniagaan baru tempatan, BIBD juga mempromosikan vendor-vendor tempatan pada jerayawara di setiap cawangan berkenaan.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda