Oleh Nurdiyanah R. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 3 DIS – Kedutaan Jepun di Negara Brunei Darussalam dan Hab Tenaga Brunei Dermaga Diraja menganjurkan Pameran Seni Kembara Yayasan Jepun Variasi dan Autonomi: Cetakan Pelukis Jepun Kontemporari yang akan berakhir hingga 8 Disember ini.
Pameran yang dibukakan kepada orang ramai secara percuma itu sempena memperingati ulang tahun ke-40 penubuhan hubungan diplomatik antara Jepun dan Brunei dengan menampilkan hasil karya 10 orang pelukis yang menyerlahkan pelbagai ekspresi dalam seni kontemporari menggunakan media cetak dari tahun 1960an hingga 1980an.
Ia direka untuk memberi penerangan tentang bidang baharu, cetakan yang dibuat oleh para pelukis, yang dibangunkan melalui cetakan Jepun kontemporari.
Sebanyak 42 buah cetakan dipaparkan pada pameran tersebut. Antara karya artis yang dipamerkan termasuklah Murai Masanari, Onosato Toshinobu, Tabuchi Yasukazu, Kusama Yayoi, Nakanishi Natsuyuki, Nakazato Hitoshi, Murakami Tomoharu, Hikosakai Naoyoshi, Hori Kosai dan Tatsuno Taeko.