BANDAR SERI BEGAWAN, 7 Nov – Suruhanjaya Tinggi India di Brunei Darussalam dan Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS) akan bersama-sama mengadakan Pameran Seni Khat Indo-Islam sebagai acara perdana Festival India di Brunei Darussalam sempena Jubli Emas Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Menaiki Takhta.
Pameran bermula 9 hingga 25 November itu akan diadakan di Muzium Teknologi Melayu dengan kemasukan percuma.
Menurut kenyataan daripada Pesuruhjaya Tinggi India ke Brunei Darussalam, Nagma M Mallick, sebanyak 36 hasil karya seni khat akan dipamerkan yang diselenggarakan dengan penuh teliti daripada koleksi besar dan luar biasa Perpustakaan Rampur Raza, India. Perpustakaan berkenaan merupakan salah satu daripada perpustakaan lama terkenal di Asia Selatan yang diasaskan oleh Nawab Faizullah Khan dalam tahun 1774.

Kenyataan turut menyatakan, kerajaan India menghargai kepentingan Sambutan Jubli Emas dalam sejarah Brunei dan ingin mengiktiraf sumbangan peribadi Baginda Sultan dalam mengukuhkan hubungan dua hala antara kedua-dua negara dengan festival ini. Festival India akan diraikan dengan pelbagai acara hingga Mac 2018. Seperti juga rangkap Parsi mengangkat nilai seni khat, kaligrafi Islam atau Arab adalah amalan artistik penulisan yang diolah dengan gaya berdasarkan Bahasa Arab yang lazimnya ayat-ayat dari kitab suci Al-Quran atau nama-nama Allah. Ia telah berkembang di negara-negara dengan warisan Islam yang dikongsi sama.
India mempunyai tradisi lama penghiasan dan ukiran artistik pada batu dan deria estetik yang begitu berkembang yang ditunjukkan dalam muziknya, tarian, tekstil dan seni-seni lama lain pada zaman purba.
Dengan ketibaan tradisi Islam di benua kecil India, kedua-dua tradisi memulakan proses integrasi perlahan yang mengembangkan artistik, muzikal dan budaya pada era Mughal menjelang abad ke-17 dan ke-18.
Seni khat Islam adalah salah satu seni yang begitu berkembang mekar.