Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 18 DIS – Bersempena dengan Hari Antarabangsa Orang Kelainan Upaya (HAOKU) 2024, Jabatan Pembangunan Masyarakat, Kementerian Kebudayaan Belia dan Sukan (KKBS) pagi tadi melancarkan Pameran Seni Untuk Semua di Hab Tenaga Brunei Dermaga Diraja, Bandar Seri Begawan
Hadir selaku tetamu kehormat dan seterusnya merasmikan pelancaran berkenaan ialah Pemangku Setiausaha tetap (Kemasyarakatan), KKBS, Dr Siti Norkhalbi binti Haji Wahsalfelah.
Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan seterusnya penyampaian ucapan alu-aluan oleh Pemangku Pengarah Jabatan Pembangunan Masyarakat, KKBS, Dayang Siti Zaharah binti Haji Abdul Razak.
Dalam ucapannya berkata bahawa Pameran Seni Untuk Semua pada tahun ini adalah merupakan kesinambungan daripada pameran yang telah diadakan sebelum ini dan merupakan pameran kali ke ketiga yang mengetengahkan tema berkaitan dengan angkasa, astronomi dan alam cakerawala.
Lebih 100 karya seni, termasuk lukisan, kraftangan, model, dan replika, hasil karya seni kreatif golongan OKU dipamerkan yang mana membolehkan para artis merungkai dan mendalami alam cakerawala yang luas dan penuh misteri dengan kepelbagaian seperti planet, bintang, komet, nebula dan sebagainya ke dalam seni karya dengan menggabungkan pengetahuan sains, daya imaginasi dan kreativiti.
Pameran yang bermula hari ini, 18 Disember sehingga 10 Januari 2025 merupakan kolaborasi antara Pusat Bahagia, Bahagian Orang Kelainan Upaya (BOKU), Jabatan Pembangunan Masyarakat (JAPEM) bersama dengan rakan-rakan strategik yang terdiri daripada Sekolah Menengah Lambak Kiri, Sekolah Menengah Sayyidina Abu Bakar, Sekolah Menengah Awang Semaun, Sekolah Rendah Anggerek Desa, Sekolah Rendah Kapok Muara, Sekolah Rendah Lambak Kanan Jln 49, dan Kementerian Pendidikan.
Pameran berkenaan juga adalah kolaborasi dengan beberapa pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) OKU iaitu Pusat Ehsan Al-Ameerah Al Hajjah Maryam; Society for Management of Autism Related Issues in Training, Education and Resources (SMARTER Brunei), La Vida, dan Persatuan ABLE.
Pameran berkenaan diharapkan dapat membuka minda masyarakat bahawa walaupun terdapat keterbatasan masing-masing, individu OKU masih boleh menghasilkan seni karya yang kreatif dan bernilai yang wajar untuk dihargai setiap lapisan masyarakat.
Sebagai contoh, satu replika kapal angkasa yang dihasilkan oleh seorang OKU pendengaran di mana beliau mampu menghasilkan seni bina yang kreatif dengan menggunakan kertas yang terbuang. Walaupun beliau tidak mempunyai latar belakang pendidikan seni namun daya kreativiti dan kemahiran seni bina beliau dapat menghasilkannya.
Objektif pameran berkenaan adalah untuk menjadikan seni sebagai wadah yang memberi peluang serta hak kesaksamaan kepada golongan OKU. Ia juga bertujuan mewujudkan persekitaran yang merangsang OKU untuk aktif dalam seni, menggalakkan integrasi sosial, dan meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap bakat serta hasil seni OKU.
Dalam masa yang sama, pameran ini diharapkan dapat mewujudkan peluang pekerjaan di sektor industri kreatif bagi OKU di negara ini berikutan daripada kebolehan kreativiti yang ditonjolkan.
Turut hadir ke pameran tersebut ialah Ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Awang Abdul Aziz bin Haji Hamdan; Yang Di-Pertua Majlis Kesejahteraan Orang Kelainan Upaya, Malai Sharifah Adilah Surya binti Malai Haji Abdullah; Yang Di-Pertua Majlis Paralimpik Brunei Darussalam, Awang Haji Ali Yusri bin Haji Abdul Ghafor; Suruhanjaya Tinggi Australia, pegawai-pegawai kanan kerajaan dan rakan-rakan strategik dari agensi swasta termasuk badan-badan bukan kerajaan.