Oleh Nurdiyanah R.
Gambar serahan ISB
Keunggulan Sekolah Antarabangsa Brunei (ISB) bukan hanya terletak pada tahap akademik para pelajar bahkan ia juga terserlah dalam menghasilkan karya-karya kreatif mereka menerusi Pameran Seni Visual yang telah dirasmikan semasa majlis resepsi peribadi untuk keluarga dan tetamu jemputan di sekolah berkenaan, baru-baru ini.
Seramai 10 orang pelajar Tahun 13 yang mengambil Program Diploma International Baccalaureate (IBDP) Seni Visual terdiri daripada Ammarah Ahmad, Yen Tze Chia, Felicia Chung, Liam Curaming, Andrei Galsim, Nazziah Khan, Jia Wen Liu, Aliah Patel, Aiden Shim dan Jana Wasfy telah berkongsi detik perjalanan dan inspirasi mereka sepanjang kursus dua tahun mereka bagi menandakan acara kemuncak pameran berkenaan.
Menurut salah seorang peserta pameran, Liu Jia Wen, yang merupakan penerima Biasiswa Lembaga Pengarah ISB yang berprestij, tema untuk hasil karya yang beliau tampilkan lebih membawa kepada penerokaan complexities of solitude di mana ia diilhamkan daripada pengalaman peribadi dalam hidupnya.
Sementara itu, Aiden Shim turut berkongsi bahawa dengan karya yang dihasilkan dalam pameran berkenaan sememangnya memiliki maksud tersirat dengan menyimpan hasrat untuk menjadikan satu pemahaman lofty and intimidating topics kepada sesuatu yang lebih mudah untuk difahami.
“Ia benar-benar sukar kerana saya tidak mempunyai pengalaman yang banyak dalam seni semasa peringkat IGCSE.
Saya baru mula mengambil seni sejak tahun lepas tetapi dengan sokongan guru, ibu bapa dan rakan sekelas saya, maka merekalah yang banyak membantu dan membimbing saya sehingga ia menjadi lebih mudah,” ujarnya penuh kesyukuran.
Manakala, Guru Seni Visual Tahun 13 IB, Lisa Kossen, turut berkesempatan mengungkapkan kegembiraan dengan pencapaian para pelajar yang terlibat dalam pameran tersebut.
“Dalam tempoh satu setengah tahun, saya dapat melihat para pelajar menjadi artis yang matang, dan bukan sahaja menjadi pelajar yang baik dan berkemahiran tetapi mereka mampu menggunakan bahasa visual dan belajar mengekspresikan diri mereka melalui seni,” tambahnya.
Dengan pencapaian yang ditonjolkan berkenaan, ISB mengucapkan tahniah kepada para pelajar Tahun 13 IBDP Seni Visual kerana mereka telah melengkapkan komponen pameran dalam pengajian diploma mereka yang terdiri daripada sebanyak 40 peratus daripada gred tahun akhir mereka.
Di samping itu, pihak sekolah juga merakamkan ucapan penghargaan kepada Kehasan (B) Sdn Bhd kerana memberi sokongan kepada golongan pelajar seni visual sebagai persediaan untuk pameran mereka.
Para tetamu dan pelajar yang menghadiri majlis perasmian baru-baru ini menikmati rangkaian karya seni yang pelbagai dan cemerlang, dan berpuas hati serta menghargai karya yang dihasilkan.
Dalam perlaksanaan Kursus Seni Visual dalam IBDP ini, ia begitu menggalakkan golongan pelajar untuk lebih mencabar diri dengan sebarang jangkaan dan kreativiti mereka sendiri.
Ia merupakan kursus yang merangsang pemikiran di mana pelajar-pelajar membangunkan kemahiran analitikal dalam penyelesaian masalah dan pemikiran berbeza sambil berusaha ke arah kecekapan teknikal dan keyakinan sebagai insan pengkarya seni.
Pameran dibukakan kepada para pengunjung sehingga 2 Mac ini pada waktu persekolahan di IB Workroom sekolah berkenaan telah menampilkan pelbagai karya seni kreatif daripada para pelajar dengan sentuhan penuh kecemerlangan tersendiri.