Jumaat, 21 November 2025
24.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Pameran solo dukung perkembangan industri kreatif

    Oleh Sim Y. H. – 

    BANDAR SERI BEGAWAN, 9 JAN – Penganjuran Pameran Seni Solo, Kehidupan Dalam Seni, merupakan pameran solo pertama daripada banyak lagi pameran seni di masa akan datang, di mana ia memperlihatkan kepada orang ramai bahawa bidang seni berupaya untuk dijadikan kerjaya.

    Di samping itu, penggiat seni industri kreatif juga akan menyedari bahawa terdapat ruang bagi mempertontonkan kreativiti mereka dengan adanya ruang dan peluang itu, ia diharap dapat memperkembangkan lagi industri kreatif di Negara Brunei Darussalam.

    Perkara itu dinyatakan oleh Pemangku Pengarah Muzium-muzium, Pengiran Haji Rosli bin Pengiran Haji Halus dalam ucapan alu-aluannya pada Majlis Pelancaran Pameran Solo Pertama, Kehidupan Dalam Seni, Dato Paduka Haji Haini bin Haji Hashim yang berlangsung di Galeri 4, Hab Tenaga Brunei Dermaga Diraja, hari ini.

    Pengiran Haji Rosli menyatakan lagi bahawa pameran yang menampilkan hasil karya Dato Paduka Haji Haini, pelukis pertama yang mengadakan pameran solo di galeri berkenaan, adalah bukti kepada keupayaan bidang seni untuk menjadi lata yang boleh digunakan bagi mengukuhkan lagi kerjasama erat di semua peringkat.

    Pameran solo itu, tambahnya, merupakan sebuah ruang platform yang disediakan oleh Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan melalui Jabatan Muzium-muzium dalam usaha bagi terus mendukung pembangunan industri kreatif di negara ini.

    “Pameran ini akan berlangsung sepanjang bulan Januari dan adalah pameran solo pertama daripada banyak lagi pameran-pameran seni yang akan datang.”

    Selain daripada pameran, Pengiran Haji Rosli berkata aktiviti sampingan iaitu Bicara Seni akan diadakan di mana ia merupakan salah satu mekanisme bagi mengasah bakat di kalangan belia dan masyarakat secara inklusif serta peserta bengkel bagi mempelajari asas dalam menggunakan arkilik dalam seni lukisan.

    Pengiran Haji Rosli menyampaikan ucapan alu-aluannya semasa Majlis Pelancaran Pameran Solo Pertama di Galeri 4, Hab Tenaga Brunei Dermaga Diraja. – GAMBAR OLEH SIM Y. H.
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda