Tuesday, February 4, 2025
24 C
Brunei

    Berita Terkini

    Pameran taman tawar pengalaman bandar ekologi

    Gambar ANN/Korean Herald

    SEOUL – “Apabila dunia membosankan dan masyarakat gagal memberi kepuasan, taman mampu menawarkan penyelesaian.”

    Petikan daripada Minnie Aumonier, seorang penyair abad ke-19, masih relevan hingga kini, seperti yang dapat dilihat di Ekspo Taman Antarabangsa Suncheon, yang akan dibuka pada Jumaat ini.

    Dengan pandemik hampir mencapai penghujungnya, Ekspo Taman Antarabangsa Suncheonman yang berlangsung sehingga 31 Oktober, bertujuan menarik lapan juta orang pengunjung.

    Dilancarkan pada tahun 2013, rancangan asal pameran itu adalah untuk memelihara paya bakau Suncheon dengan penubuhan kawasan ekologi yang terbentang seluas kira-kira 116 hektar.

    Tahun ini, objektif bandar itu telah berkembang untuk merangkumi pusat bandar sebagai taman-tamannya, meliputi jumlah keluasan 545 hektar. Rancangan masa depan adalah untuk menjadikan Suncheon sebagai bandar taman ekologi sepenuhnya.

    Bunga tulip berkembang mekar di Ekspo Taman Antarabangsa Suncheonman.
    Shilangae, tempat penginapan di mana pelawat boleh tinggal semalaman di taman.
    Sebahagian daripada pemandangan Taman Negara Suncheonman.
    Jalan yang diubah menjadi taman, Green Island di Ekspo Taman Antarabangsa Suncheonman.

    Pada acara media ekspo pada Isnin, Datuk Bandar Suncheon, Roh Kwan-kyu, yang juga merupakan pengerusi jawatankuasa penganjur, mengucapkan terima kasih kepada kerajaan tempatan atas sokongan mereka, sementara meminta pengunjung datang dengan fikiran yang terbuka.

    “Kebudayaan taman adalah nilai yang dikongsi oleh seluruh dunia selama berabad-abad,” kata Roh. “Pengunjung mungkin berasa kecewa jika mereka datang dengan mengharapkan hotel mewah dan kemudahan yang canggih di bandar. Tetapi bagi mereka yang datang dengan persediaan untuk menghargai impian bandar untuk menjadi ibu kota ekologi global, saya dapat memberi jaminan bahawa mereka dapat memperoleh banyak pengalaman di pameran ini.”

    Jawatankuasa penganjur mengumumkan bahawa pameran tahun ini akan menampilkan kira-kira 100 jenis bunga dan 384 spesies tumbuhan. Lupin dan peony yang biasanya berkembang mekar dari bulan Mei hingga Jun, sudah dipamerkan sepenuhnya, dalam beraneka warna.

    Juga ketara adalah pokok bidara yang berusia 600 tahun yang telah disumbangkan oleh seorang pereka landskap, yang telah hidup subur di kawasan batuan dasar di Pulau Jeju.

    Pokok poplar yang tinggi juga mendereti sepanjang laluan berjalan di taman itu.

    Sebanyak 10 ruang baharu telah ditambahkan pada pameran tahun ini, termasuk Ocheon Green Square, model taman waduk, Green Island, jalan raya yang diubah menjadi taman dan Shilangae, kawasan penginapan dalam taman.

    Satu lagi ciri unik pameran ini adalah laluan tanah granit yang mencecah 15 kilometer, merentasi pusat bandar dan taman. Taman miniatur dengan reka bentuk yang berdasarkan ciri-ciri kebun dari 44 negara merupakan tarikan yang tidak boleh dilepaskan.

    Mod pengangkutan baharu yang dipanggil Garden Dream Cruise terdiri daripada empat bot feri yang masing-masing boleh memuatkan sehingga 12 penumpang. Feri tersebut menyusuri jalan air sepanjang 2.5 kilometer dari Dongcheon, hanya mengambil masa lima minit berjalan kaki dari Stesen Suncheon, ke Taman Negara Suncheon, setiap 10 minit pada waktu siang.

    Ruangan letak kereta tersedia di pameran ini, tetapi penggunaan pengangkutan awam digalakkan oleh jawatankuasa pameran.

    “Kami berusaha untuk menghapuskan kemudahan-kemudahan yang tidak perlu sebanyak mungkin, untuk mencipta sebanyak mungkin ruang hijau di taman yang luas,” beritahu Choi Deok-lim, pengarah jawatankuasa pameran Suncheon, kepada The Korea Herald.

    “Apabila pengunjung masuk ke pameran, tidak adanya tangga. Ini adalah permulaan pengalaman bandar ekologi.”

    Sepanjang tempoh pameran, pengunjung boleh mengambil bahagian dalam program kesejahteraan seperti yoga dan meditasi, mengambil bahagian dalam festival bulanan yang mesra haiwan kesayangan serta menyaksikan pelbagai persembahan.

    Untuk menjadikan acara ini lebih mudah diakses oleh orang ramai, kereta sorong, kerusi roda, bateri tambahan dan kasut berlari juga boleh dipinjam secara percuma di kedai-kedai sewa di pintu masuk timur, barat dan selatan.

    Artis popular termasuk penyanyi soprano terkenal, Jo Sumi, penyanyi K-pop, Lena Park dan Prowdmon akan tampil di pentas semasa majlis pembukaan pada Jumaat, di Ocheon Green Square. Seramai 30,000 pengunjung dijangka menghadiri acara tersebut.

    Upacara pembukaan pameran akan bermula pada pukul 10 pagi pada hari Sabtu, dan waktu operasi biasa adalah dari pukul 9 pagi hingga 9 malam. Dari Jun hingga Ogos, pameran akan beroperasi selama satu jam lebih lama sehingga pukul 10 malam. – ANN / Korean Herald

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda