Sunday, December 22, 2024
23.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Pameran tayang hasil kerja, kehidupan Chanel

    LONDON – Gaun kecil berwarna hitam, sut tweed, minyak wangi yang hanya dikenali sebagai No 5.

    Fesyen klasik yang dikenali serta-merta itu — dan banyak lagi ciptaan yang kurang dikenali oleh Gabrielle ‘Coco’ Chanel, diraikan dalam pameran baharu utama di Muzium V&A, London yang didedikasikan untuk kehidupan dan karya pereka terkenal dari Perancis itu.

    Kurator telah mengumpulkan hampir 200 pakaian yang dilihat bersama-sama buat pertama kali, mempamerkan kerjaya panjang Chanel dari pembukaan butik pembuatan topi wanita di Paris pada tahun 1910 hingga koleksi terakhirnya pada tahun 1971.

    “Sudah tentu terdapat banyak elemen yang kita semua tahu mengenai Gabrielle Chanel dan apa yang beliau sumbangkan kepada fesyen,” kata Connie Karol Burks, salah seorang kurator. “Tetapi dalam pameran ini, kami mengembangkan lebih daripada itu, dan kami benar-benar melihat secara terperinci bagaimana pendekatan beliau terhadap reka bentuk mempengaruhi cara kita semua berpakaian.”

    Pameran bermula dengan salah satu pakaian terawal Chanel yang masih wujud — blaus krim ringkas dari tahun 1916 yang diperbuat daripada kain jersi sutera, fabrik sederhana yang sebelum ini digunakan untuk pakaian dalam dan stoking.

    Kurator melaraskan ciptaan yang dipaparkan sebagai sebahagian daripada pameran ‘Gabrielle Chanel. Manifesto Fesyen’ di muzium V&A, London pada 12 September. – Gambar AP
    Seorang kurator melihat sorotan utama bagi pameran ‘Gabrielle Chanel. Manifesto Fesyen’ di muzium V&A, London baru-baru ini. – Gambar AP
    Seorang kurator memperkemas ciptaan yang dipaparkan sebagai sebahagian daripada pameran ‘Gabrielle Chanel. Manifesto Fesyen’ di muzium V&A, London. – Gambar AP
    Seorang kurator melihat blaus krim ringkas yang dipaparkan di muzium V&A, London, baru-baru ini. – Gambar AP
    Gambar AP

    Chanel adalah orang pertama yang menunjukkan daya tarikan fabrik tersebut untuk fesyen atasan, kata kurator, dan blaus itu menetapkan kualiti untuk keanggunan yang lebih santai serta melawan arus fesyen yang lebih ketat pada masa itu.

    “Apa yang benar-benar menarik mengenainya ialah betapa modennya ia kelihatan pada hari ini,” lebih daripada satu abad kemudian, kata Karol Burks.

    Pengunjung di pameran tersebut dapat melihat galeri yang dipenuhi dengan koleksi ciptaan Chanel, termasuk gaun hitam kecilnya yang terkenal — hit sepanjang zaman di mana pada tahun 1926, majalah America Syarikat, Vogue menyamakannya dengan kereta Ford yang popular dan meramalkan bahawa ‘seluruh dunia akan memakainya’.

    Sorotan utama bagi pameran ini ialah bilik bercermin dengan dinding yang dipenuhi dengan paparan sut khas Chanel yang menakjubkan, daripada hitam monokrom dan krim hingga warna merah jambu, ungu lembut dan merah yang lebih ceria.

    Terdapat juga pakaian yang dipamerkan yang dicipta untuk bintang Hollywood, Lauren Bacall dan Marlene Dietrich, dan bahagian yang dikhaskan untuk beg tangan dan minyak wangi Chanel yang amat diidam-idamkan. Kemuncak pameran adalah rekaan semula yang mempamerkan tangga bercermin di salon couture Chanel di Paris, yang dipenuhi dengan patung-patung yang memakai koleksi gaun malam mewah pereka itu.

    Berdasarkan pameran sebelumnya yang dipentaskan di Palais Galliera di Paris, edisi di V&A ini mengembangkan pengaruh Chanel di Britain, dengan satu bahagian menonjolkan integrasinya ke dalam masyarakat atasan British, sebahagiannya melalui kekasihnya yang kaya, Hugh Grosvenor, Duke of Westminster kedua.

    Kurator berkata pereka itu menceburkan diri dalam aktiviti luar British seperti memburu dan memancing, dan mencadangkan bahawa dia telah mendapat inspirasi untuk menggunakan tweed British dalam reka bentuk Parisnya yang bergaya.

    Pameran itu juga secara ringkas menyentuh sejarah gelap Chanel sebagai pemberi maklumat untuk Nazi di Jerman semasa Perang Dunia Kedua, walaupun ia tidak membuat sebarang kesimpulan. Sebaliknya, kurator berkata penyelidikan sedang dijalankan mengenai bukti baharu yang menunjukkan bahawa pereka itu juga merupakan ahli penentang Perancis.

    Pengarah V&A, Tristram Hunt berkata muzium tersebut berharap pameran baharu itu akan berkembang dan mengikuti kejayaan pameran fesyen blockbuster sebelum ini yang menampilkan Christian Dior dan Alexander McQueen. – AP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda