Oleh Salawati Haji Yahya –
BANDAR SERI BEGAWAN, 2 JULAI – Dalam meraikan sambutan 40 tahun hubungan diplomatik antara Republik Rakyat Bangladesh dan Negara Brunei Darussalam, Suruhanjaya Tinggi Republik Rakyat Bangladesh di Brunei, hari ini, telah melancarkan Pameran Tekstil yang berlangsung di Muzium Teknologi Brunei.
Pameran yang dianjurkan dengan kerjasama Jabatan Muzium-muzium, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS) itu diselajurkan dengan penyampaian sumbangan empat pasang sari vintaj kepada pihak KKBS.
Sumbangan sari vintaj itu adalah tambahan kepada koleksi muzium Brunei bagi mengukuhkan lagi hubungan budaya antara kedua-dua negara.
Pelancaran pameran berkenaan disempurnakan oleh Setiausaha Tetap (Kesukanan) di KKBS, Pengiran Mohd Amirrizal bin Pengiran Haji Mahmud dan disaksikan oleh Pesuruhjaya Tinggi Republik Rakyat Bangladesh ke Brunei Darussalam, Puan Yang Terutama Nahida Rahman Shumona.
PYT Nahida Rahman Shumona, dalam ucapannya antara lain telah mengongsikan bahawa terdapat empat tekstil tradisi paling ikonik Bangladesh dipamerkan.
Tekstil yang dipamerkan itu ialah Jamdani, Manipuri, sutera mentah Rajshahi dan jahitan Kantha yang disulam indah, di mana setiap kraf tersebut mempunyai sejarah, kreativiti dan daya tahan yang tersendiri.
“Empat tekstil tradisi ini bukan hanya hasil tangan tapi ia adalah penjelmaan jiwa kolektif rakyat Bangladesh,” katanya.
“Ia adalah bukti ketabahan, kreativiti dan kepintaran rakyat Bangladesh. Ia juga merupakan peringatan tentang warisan budaya yang kaya dan komitmen kita yang tidak berbelah bahagi untuk memelihara dan mempromosikan kesenian kepada dunia,” jelasnya.
Sementara itu, Pemangku Pengarah Muzium, Pengiran Haji Rosli bin Pengiran Haji Halus pada majlis itu turut menjelaskan, bahawa pameran itu menunjukkan bukti komitmen bersama dalam memupuk pertukaran budaya dan kerjasama ekonomi.
Beliau seterusnya menjelaskan, industri tekstil berada di tempat istimewa dalam sejarah dan budaya di antara kedua-dua negara, selain ia juga adalah sumber kebanggaan dan identiti negara yang wujud dari generasi ke generasi.
“Pameran tekstil ini merayakan budaya warisan, menghargai kraftangan, kreativiti dan keindahan seni tekstil dari Bangladesh, di samping melambangkan kerjasama yang kuat dan semakin berkembang di antara Bangladesh dan Brunei selama 40 tahun,” jelasnya.
“Dengan adanya kerjasama di antara Jabatan Muzium-muzium dan Pejabat Pesuruhjaya Tinggi Negara Bangladesh dalam melaksanakan pameran seumpama ini, ia setentunya menandakan satu pencapaian penting dalam hubungan dua hala,” tekannya.
“Selain itu, ia membuka lagi potensi kerjasama di antara Bangladesh dan Brunei dalam pertukaran budaya,” tambahnya.
Pameran pelbagai tekstil yang berasal dari negara Bangladesh itu memperlihatkan warisan budaya dan dibuka untuk kunjungan orang ramai di muzium berkenaan sehingga 16 Julai depan.
Selain itu, persembahan muzik dan nyanyian turut memeriahkan majlis pelancaran pameran berkenaan yang mana ia memberikan peluang kepada tetamu untuk menikmati muzik tradisional Bangladesh yang bertenaga.