Monday, December 30, 2024
22.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Pameran tenunan tradisional tarik perhatian pengunjung

    HANOI – Beratus-ratus orang yang meminati kemahiran tenunan tradisional etnik minoriti di Vietnam, berduyun-duyun ke pameran di Institut Goethe, Hanoi untuk melihat produk dan demonstrasi daripada pekerja tangan yang mahir.

    The Art of Indigenous Weaving, acara yang dianjurkan oleh Craft Link, memperkenalkan kemahiran etnik Mong di wilayah utara Ha Giang, etnik Thai dari wilayah tengah Nghe An dan Chau Ma dari wilayah Tanah Tinggi Tengah Lam Dong .

    Tran Tuyet Lan, pengarah besar Craft Link Society Enterprise, berkata keistimewaan acara ini ialah enam wakil daripada tiga kumpulan etnik dari tiga wilayah di negara itu dijemput untuk menunjukkan kemahiran menenun tangan mereka di pameran tersebut.

    “Tiga kumpulan mempunyai tiga cara menenun kain tradisional,” katanya kepada VNS.

    “Awda boleh melihat di sini persamaan mereka dalam budaya serta perbezaan dalam budaya tenunan.”

    Lan menjelaskan sepanjang 26 tahun menjalankan perusahaan itu, Craft Link telah bekerjasama dengan pelbagai kumpulan etnik di seluruh Vietnam, kebanyakan mereka mempunyai kemahiran tenunan tradisional khas yang diwarisi turun-temurun.

    Orang ramai begitu teruja dan terpegun dengan kain tenunan yang dipamerkan. – ANN/VNS
    Salah seorang pengunjung tidak melepaskan peluang mencuba sendiri mesin tenunan tradisional. – ANN/VNS
    Sung Th࿋ Van Anh memperlihatkan cara menggunakan mesin tenunan. – ANN/VNS
    Kain etnik Chau Ma ditenun pada tenunan mudah alih. – ANN/VNS
    Cindy Cutler, warga AS yang berpangkalan di Hà Nội selama tiga tahun, menghabiskan masa yang lama di acara itu. – ANN/VNS

    “Semasa proses pembangunan masyarakat moden, banyak kumpulan etnik telah melihat kemahiran menenun mereka semakin disisihkan, sesuatu yang amat dikesali,” katanya.

    “Kilang mengeluarkan kain baharu dengan cepat pada harga murah. Sangat sukar untuk produk tenunan tradisional oleh kumpulan etnik terpencil bersaing dengan tekstil perindustrian.”

    Itulah sebabnya Craft Link menganjurkan pameran ini untuk memperkenalkan kemahiran berharga kumpulan etnik, katanya.

    “Kami ingin menyebarkan mesej bahawa kami harus mengekalkan identiti tradisional kumpulan etnik melalui kraftangan tradisional mereka dan membantu mereka membawa kraf tangan kepada rakan antarabangsa,” katanya.

    “Mereka boleh mencipta produk yang cantik untuk pelbagai pasaran di dunia,” katanya.
    Lan berkata produk mereka sangat dihargai di pasaran asing.

    “Apabila bekerja dengan kumpulan etnik, kami telah melakukan penyelidikan untuk memahami budaya dan cara mereka menggunakan kain dalam kehidupan seharian untuk mereka bentuk produk berfungsi yang lebih baik dan lebih sesuai untuk pasaran antarabangsa,” katanya.

    Thi Van Anh daripada kumpulan etnik Mong di Daerah Quan Ba, wilayah Ha Giang, menunjukkan kemahirannya di pameran itu.

    “Saya sedang menenun kain linen daripada rami,” katanya.

    “Kami mengambil banyak masa untuk membuat kain daripada mengoyakkan gentian, mengubah warna gentian, dan beberapa langkah sebelum mencapai langkah menenun ini,” katanya.

    Anh berkata, dia belajar teknik menenun semasa dia kecil daripada nenek dan ibunya.

    “Saya suka menenun dan cuba mempelajari kemahiran itu. Walaupun terdapat banyak lagi jenis kain yang tahan lama dan cantik di pasaran, saya rasa kain linen tradisional kami tidak boleh diganti. Kami masih memakainya untuk majlis-majlis perayaan. Ia semula jadi dan telah dikaitkan dengan kumpulan etnik saya sejak sekian lama,” katanya.

    Anh berkata wanita seusianya masih mengekalkan kemahiran menenun.

    “Saya berasa bangga dengan kemahiran menenun ini dan ingin memperkenalkannya kepada masyarakat antarabangsa,” katanya.

    Dieu Thi Moc daripada kumpulan etnik Chau Ma dari Lam Dong berkata dia mendapat pendapatan yang stabil daripada menenun kain tradisional.

    Moc berkata dengan kemahiran menenun, dia tetap menggunakan tangan walaupun kini terdapat mesin yang melakukan kerja ini.

    “Kami tetap memilih kain artisanal kerana coraknya lebih tajam dan warna yang dicelup kelihatan lebih cantik,” katanya.

    Mendapat VND6 juta (AS$246) dalam pendapatan bulanan daripada menenun, Moc juga memperoleh wang daripada penanaman gajus dan beras.

    “Kami tidak akan menghentikan tenunan tradisional ini kerana kami masih boleh hidup dengannya,” kata Moc.

    Cindy Cutler, warga Amerika Syarikat yang tinggal di Hanoi selama tiga tahun, menghabiskan masa yang lama di acara itu.

    “Ini adalah pameran yang menarik,” katanya.

    “Saya sangat kagum dengan aspek pendidikan dan mereka menerangkan teknik dan sejauh mana produk yang dihasilkan cantik ini. Saya baru sahaja berada di Ha Giang dan saya melihat wanita memakai pakaian tradisional dan masih melakukan perdagangan tradisional,” katanya.

    Cutler menghargai kepelbagaian produk yang berbeza dan acara itu telah diterjemahkan ke dalam bahasa Inggeris di Institut Goethe.

    “Ia adalah pameran yang sangat mendidik dengan tukang-tukang di sini supaya awda boleh melihat mereka membuat produk,” katanya.

    Craft Link ialah perusahaan sosial bukan berasas keuntungan dan perdagangan adil yang ditubuhkan pada tahun 1996. Perusahaan itu kini menyokong lebih daripada 60 buah kumpulan tukang di seluruh Vietnam dengan lebih daripada 6,000 orang penerima.

    Projek Craft Link bukan sahaja membantu artis menghasilkan seni dan kraf untuk meningkatkan pendapatan mereka, tetapi juga membantu mereka meningkatkan kapasiti, menuju ke arah pembangunan mampan. – ANN/VNS

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda