OXFORD, 1 Jun – Universiti Oxford hari ini, melancarkan pameran karya pengarang ‘The Lord of the Rings’ , John Ronald Reuel Tolkien (J R R Tolkien) yang diperoleh dari beberapa negara, termasuk yang tidak pernah dilihat sebelum ini.
Menurut Universiti Oxford, pameran bertajuk ‘Tolkien: Maker of Middle-earth’ akan diadakan di Perpustakaan Bodleian (Bodleian).
Ia dipercayai yang terbesar dalam tempoh beberapa dekad membabitkan pelbagai manuskrip, hasil kerja seni, peta, surat dan artifak milik pengarang warga Britain itu. Sebahagian besar daripada bahan pameran itu dibawa pulang ke Oxford, iaitu lokasi Tolkien menghabiskan hidupnya dan ia adalah kali pertama sejak beliau meninggal dunia pada 1973.
“Kami ingin mempersembahkan hasil kerja asal Tolkien, sekali gus menyingkap kembali sejarah di mana semuanya bermula,” kata kurator, Catherine McIlwaine yang juga juruarkib di perpustakaan itu kepada AFP.
Selain itu, pameran itu juga akan memaparkan pelbagai hasil kerja Tolkien, antaranya lukisan abstrak dan hasil tulisan yang dikarang untuk anak-anaknya, selain karya yang diterbitkan selepas kematiannya.
“Tolkien sentiasa menjadi fenomena dunia, termasuk ketika beliau masih hidup.
“Dan kami adalah satu-satunya institusi yang boleh berbuat demikian kerana memiliki koleksi terbesar karya dan bahan membabitkan Tolkien,” kata ketua perpustakaan, Richard Ovenden.
Sementara itu, pameran yang berlangsung sehingga 28 Oktober itu dijangka menarik 100,000 pengunjung. Dianggarkan satu pertiga daripada 200 bahan pameran itu, yang mengambil masa selama lima tahun untuk dikumpul, tidak pernah dilihat oleh mana-mana pihak sebelum ini. – AFP