Wednesday, October 9, 2024
24.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Pameran Urusan Rumah Tangga 2018 dirasmi

    Oleh Salawati Haji Yahya

    Gambar Muiz Matdani

     

    BANDAR SERI BEGAWAN, 19 Sept – Pameran Urusan Rumah Tangga 2018 bersempena Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam telah dibuka rasmi di Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas, hari ini.

    Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Isteri Pengiran Anak Sarah telah berkenan berangkat merasmikan pameran berkenaan yang dianjurkan oleh Jawatankuasa Tertinggi Perayaan Ulang Tahun Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia ke-72 tahun bagi Daerah Brunei dan Muara dengan kelolaan Persatuan Pertiwi Negara Brunei Darussalam.

    Keberangkatan Yang Teramat Mulia dijunjung oleh Pengerusi Bersama Pameran Urusan Rumah Tangga 2018, Datin Hajah Dayang Siti Hajar binti Pehin Orang Kaya Seri Setia Dato Paduka Haji Awang Mohd Yusof dan Datin Hajah Dayang Fatimah binti Dato Seri Setia Abang Haji Razali.

    Datin Hajah Dayang Siti Hajar dalam sembah alu-aluannya menjelaskan, pameran kali ini melibatkan penyertaan semua peringkat masyarakat dalam dua bahagian utama iaitu bahagian pertandingan dan bahagian pameran, demo dan jualan promosi yang melibatkan pelbagai agensi dan badan-badan bukan kerajaan serta orang perseorangan termasuk golongan belia.

    Selain itu juga penyertaan badan bukan kerajaan dan syarikat swasta dari negara jiran seperti Persatuan Kraft Tangan Wanita Sarawak dan Syarikat Tupperware, Malaysia.

    YTM Paduka Seri Pengiran Anak Isteri Pengiran Anak Sarah berkenan berangkat ke Pameran Urusan Rumah Tangga 2018.
    YTM Paduka Seri Pengiran Anak Isteri Pengiran Anak Sarah berkenan mengurniakan hadiah tempat pertama bagi kategori gubahan daripada campuran buah-buahan, sayur-sayuran dan bunga-bungaan kepada Persatuan Siswazah Wanita.
    YTM Paduka Seri Pengiran Anak Isteri Pengiran Anak Sarah berkenan dijunjung bergambar ramai.
    YTM Paduka Seri Pengiran Anak Isteri Pengiran Anak Sarah semasa berkenan beramah mesra dengan seorang murid dan menyaksikan dengan lebih dekat lagi cara murid tersebut membuat gubahan bunga. – Gambar oleh Infofoto
    Antara jemputan yang menghadiri majlis itu.

    Dalam sembah alu-aluannya itu, beliau turut menekankan bahawa tanggungjawab kaum wanita dalam alaf ini perlu bijak menguruskan rumahtangga supaya boleh bersaing dan seimbang dengan kemajuan global.

    “Suasana global yang semakin mencabar terutama dalam tugas seharian menjaga dan mendidik anak-anak memerlukan kaum ibu supaya sentiasa peka terhadap perkembangan semasa supaya dapat menangani masalah keluarga, keselamatan dan kesihatan keluarga ke arah melahirkan institusi keluarga yang bahagia, berilmu dan beriman”.

    Melalui pameran ini, tambah beliau, diharap dapt menambah pengetahuan kaum ibu dalam bidang keselamatan di rumah iaitu dalam tatacara menangani kecemasan di rumah yang melibatkan ahli keluarga terutama kanak-kanak dan warga emas.

    Majlis berkenaan turut menyaksikan penyampaian hadiah kepada para pemenang pertandingan sempena pameran berkenaan dengan kategori gubahan gabungan daripada campuran buah-buahan, sayur-sayuran dan bunga-bungaan dijuarai oleh Persatuan Siswazah Wanita diikuti oleh Badan Kebajikan Wanita Perumahan Negara Lambak Kanan (BAKANITA) di tempat kedua dan Persatuan Basmi Dadah (BASMIDA) di tempat ketiga.

    Manakala itu, kategori aneka hiasan kek cawan pula dimenangi oleh Dayang Siti Noor Rahimah binti Awang Hamid dan kategori gubahan aneka kuih tradisi untuk balasan hantar pertunangan dimenangi oleh Pengiran Hajah Aminah binti Pengiran Damit.

    Pada majlis berkenaan, Yang Teramat Mulia turut berkenan dijunjung untuk menyempurnakan pengurniaan hadiah kepada para pemenang pertandingan seterusnya pengurniaan cenderahati penghargaan kepada peserta pameran 2018.

    Sebelum berangkat meninggalkan majlis, Yang Teramat Mulia turut berkenan menyaksikan pameran.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda