Friday, February 7, 2025
23.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Pameran Vietnam tampil pelbagai produk, aktiviti menarik

    Oleh Syahmi Hassan

    BANDAR SERI BEGAWAN, 31 OGOS – Buat julung kalinya, Kedutaan Republik Sosialis Vietnam di Brunei Darussalam dengan kerjasama Astera Consultant akan menganjurkan Pameran Perdagangan, Kebudayaan, Makanan dan Kesenian Vietnam-Brunei Darussalam di The Mall, Gadong bermula 7 hingga 11 September.

    Pameran sempena ulang tahun ke-30 hubungan diplomatik antara Brunei Darussalam dan Vietnam itu turut mengalu-alukan orang ramai untuk hadir memeriahkan pesta yang menampilkan 28 petak gerai mewakili 70 buah perniagaan dari Vietnam dan Brunei.

    “Pameran itu turut mengetengahkan produk-produk dari Vietnam seperti buah-buahan kering (mangga kering, nangka), kopi terkenal Vietnam, gajus dan teh, sarang burung, minuman ginseng dan banyak lagi,” kongsi Duta Vietnam, Tuan Yang Terutama Tran Van Khoa semasa sidang media di Kedutaan Republik Sosialis Vietnam bersama Setiausaha Ketiga, Pegawai Politik/Ekonomi Kedutaan, Tran Bich Ngoc, dan Hajah Siti Zaleha binti Haji Kaprawi dari Astera Consultant selaku penganjur.

    Tuan Yang Terutama turut mendedahkan Menteri Luar Vietnam, TYT Bui Thanh Son yang dalam rangka lawatan tiga hari ke Brunei bersama Menteri Hal Ehwal Luar Negeri Kedua Brunei Darussalam, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Erywan bin Pehin Datu Pekerma Jaya Haji Mohd Yusof, dijangka bersama-sama merasmikan pameran itu pada 7 September nanti.

    Menurutnya lagi, pada 6 September, acara padanan perniagaan (business matching event) B2B anjuran bersama Darussalam Enterprise akan diadakan pukul 2 petang di mana ahli perniagaan dari kedua-dua buah negara akan berkumpul untuk meneroka peluang kerjasama.

    TYT Tran Van Khoa (tengah), Tran Bich Ngoc (kanan), dan Hajah Siti Zaleha semasa sidang media tersebut.

    Duta Vietnam dalam kenyataannya turut menyatakan, “kerjasama ekonomi adalah antara tonggak terpenting dalam hubungan dua hala antara Vietnam dan Brunei. Bidang yang berpotensi untuk menggalakkan kerjasama perdagangan termasuk pertanian dan perikanan, pembuatan dan pembungkusan makanan halal, e-dagang dan teknologi, bangunan dan pembinaan serta produk penjagaan kesihatan.”

    Beliau juga mengongsikan pameran itu bertujuan untuk meningkatkan lagi peluang kerjasama antara perniagaan serta mempromosikan pertukaran budaya dan orang ke orang dari kedua-dua buah negara.

    Sementara itu, pada 8 September nanti, katanya, Kedutaan Vietnam akan melancarkan buku cerita kebudayaan untuk kanak-kanak yang diberi nama Story of Vietnamese Rice Cakes.

    Ianya diharap akan mendekatkan budaya rakyat Vietnam dengan masyarakat Brunei serta menggalakkan budaya membaca dan celik huruf dalam kalangan generasi muda di negara ini.

    Sementara itu, penghibur kebudayaan dari Vietnam dan Brunei Darussalam juga akan naik ke pentas membuat persembahan tarian tradisional untuk mempamerkan kekayaan budaya setiap negara.

    Pada sidang media itu juga, Tran Bich Ngoc menjelaskan sekumpulan artis Vietnam akan mempersembahkan tarian rakyat budaya dan tradisional Vietnam termasuk yang diiktiraf sebagai warisan budaya tidak ketara (intangible) UNESCO pada masa majlis perasmian, malam 10 September.

    Selain pameran karya seni daripada ARTYSANS, terdapat juga sesi masakan termasuk penyertaan cef Vietnam yang menunjukkan cara memasak spring roll dan kepakaran masakan Vietnam yang lain pada 9 September yang turut disertai pelajar dari IBTE Sekolah Hospitaliti dan Pelancongan yang akan menunjukkan cara menumpah ambuyat.

    Sementara itu, Hajah Siti Zaleha turut mengongsikan pameran itu akan dibuka dari jam 10 pagi hingga 10 malam kecuali pada hari Jumaat di mana pameran ditutup dari 12 hingga 2 petang untuk solat fardu Jumaat.

    Banyak lagi aktiviti untuk pengunjung pameran seperti pertandingan membuat sandwic, jus sihat, demonstrasi ukiran buah dan lain-lain.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda