KUALA LUMPUR, 27 MAC – ‘Bos’ baharu Harimau Malaya Kim Pan Gon sedang mengusahakan identiti baharu pasukan yang menumpukan kepada serangan bola sepak, berjanji untuk mendorong skuad agar terus meningkatkan prestasi bagi memenuhi harapan peminat.
Memohon maaf atas kesilapan dalam perlawanan Derbi Seberang Tambak malam tadi, jurulatih dari Korea Selatan berusia 52 tahun itu percaya walaupun tewas 2-1 kepada Singapura pada aksi persahabatan antarabangsa Siri Tiga-Negara FAS 2022, pemain pasukan kebangsaan itu mampu mempamerkan aksi yang baik menentang tuan rumah dan mencipta banyak peluang.
“Bagi saya, secara amnya ia adalah permulaan yang baik, dari semasa ke semasa saya selesa di bangku simpanan. Saya sangat yakin dengan prestasi kesemua pemain, mereka hebat. Malangnya, kami tidak dapat mengubah nasib walaupun terdapat banyak peluang.
“Saya fikir kadangkala situasi ini berlaku, kita boleh belajar sesuatu daripadanya. Bagi saya, ia adalah permainan ujian yang sangat bagus, saya rasa saya lebih cenderung untuk lebih menyerang, kami cuba menjadikan identiti bola sepak Malaysia, lebih positif,” katanya pada sidang akhbar selepas perlawanan itu di Stadium Nasional, Singapura. – Bernama