Friday, September 20, 2024
23.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Pan Gon masih diperlukan Harimau Malaya – Mohd Saifuddin

    KUALA LUMPUR, 31 MAC – Bekas Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Mohd Saifuddin Abu Bakar menyifatkan Kim Pan Gon masih individu yang tepat sebagai ketua jurulatih Harimau Malaya.

    Mohd Saifuddin, antara individu penting dalam proses pelantikan Pan Gon pada Januari 2022 berkata, pengendali dari Korea Selatan itu bukan sahaja telah membuktikan kemampuannya mentransformasikan pasukan negara sehingga layak secara merit ke Piala Asia selepas 42 tahun.

    Beliau berkata, selain Pan Gon mengubah kedudukan Malaysia dalam ranking dunia meningkat dengan mendadak dari tempat ke-154 ke tempat ke-130, jurulatih berusia 54 tahun itu juga membuktikan profesionalisme dan kualiti kerja yang mengagumkan.

    “Dia telah membawa Malaysia ke satu tahap yang kita tak jangka kita boleh berada dalam masa terdekat, kita kena faham bahawa Kota Rom tidak boleh dibina dalam masa sehari tapi bagi saya dia telah buat sesuatu yang ajaib.

    “Ini kerana dia seorang yang teliti dan bersemangat dan memang buat kerja 100 peratus.
    Dia juga buat ulang kaji dengan kerap, dengan kerja-kerja dilakukan, dia telah berjaya bawa Malaysia ke tahap lebih tinggi,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

    Di sebalik deretan keputusan tidak memuaskan dicatat Harimau Malaya awal tahun ini, Mohd Saifuddin berpandangan Pan Gon perlu diberi lebih masa.

    Terdapat berita bahawa Pan Gon dan barisan kejurulatihannya akan meninggalkan pasukan Harimau Malaya andai khidmat mereka tidak diperlukan lagi.

    Namun, Pan Gon menafikan berita itu dan menyatakan komitmennya bersama pasukan sehingga tamat kontrak pada 2025, mengikut kenyataan di Facebook rasmi FAM.- Bernama

    Kim Pan Gon semasa memantau skuad Harimau Malaya menjalani sesi latihan ,di Wisma FAM pada Disember lepas.
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda