KUALA NERUS, 21 JUN – Jurulatih skuad kebangsaan Malaysia, Kim Pan Gon memuji anak buahnya selepas pasukannya membenam Papua New Guinea 10-0 pada aksi persahabatan antarabangsa Tier 1 di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin di sini, malam tadi.
Pan Gon mengakui sangat gembira dengan komitmen ditunjukkan pemain setelah skuad Harimau Malaya mempamerkan persembahan berkualiti tinggi dan menarik di hadapan hampir 10,000 penonton di stadium.
Beliau berkata apa yang ditunjukkan pemainnya malam tadi memerlukan usaha dan kerja keras demi memenuhi permintaan barisan kejurulatihan, selain perlu berdepan tekanan hebat untuk melaksanakan taktikal pasukan pada setiap perlawanan.
“Mereka (pemain) sentiasa mencuba meningkatkan kualiti permainan dan sangat penting untuk melihat mereka berada dalam tekanan kerana kami (barisan kejurulatihan) datang ke sini untuk mengubah bola sepak Malaysia menjadi positif, dominan dan proaktif.
“Jadi, bagi saya, saya gembira malam ini (tadi) tetapi ini bukanlah penamat kempen, hanya satu perlawanan, namun bola sepak seperti ini yang kami mahu bermain menentang pasukan kuat dan itulah sasaran kami,” kata Pan Gon pada sidang media selepas perlawanan di Malaysia, malam tadi.
Mengulas mengenai kemajuan yang dapat dilihat sejak mengambil alih pasukan pada Januari tahun lepas, Pan Gon berkata tahap keyakinan pemain semakin meningkat dalam setiap perlawanan walaupun adakalanya mereka bergelut, namun apa yang penting ialah mereka tidak gentar.
Beliau berkata ketakutan boleh menjejaskan tumpuan, sekali gus menyukarkan pasukan untuk beraksi dengan baik.
“Seperti pada separuh masa kedua (malam tadi), ia bukan sesuatu yang boleh saya ajar. Ia hadir secara semula jadi daripada pemain, ia datang dari lubuk hati mereka. Saya rasa tahap keyakinan mereka sudah bertambah baik.
“Dan juga pada satu setengah tahun yang lepas, mereka cuba untuk memahami model permainan dan pendekatan taktikal kami. Kami berikan banyak maklumat kepada pemain, saya dapat lihat mereka sangat bijak dan saya bangga dengan mereka,” kata jurulatih berusia 54 tahun itu. – Bernama


