Monday, September 16, 2024
27.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Panaga Health lancar Hari Terbuka pamer khidmat kesihatan

    Oleh Daniel Lim –

    BELAIT, 6 SEPT – Panaga Health hari ini telah melancarkan Hari Terbuka yang diadakan di Panaga, Seria, bagi memberikan pendedahan kepada orang awam mengenai perkhidmatan kesihatan yang ditawarkan serta usaha yang dilaksanakan oleh para doktor dan jururawat dalam menjaga kesejahteraan pesakit.

    Acara dua hari tersebut dirasmikan oleh Pemangku Pengarah Komersial Syarikat Minyak Brunei Shell Sdn Bhd (BSP), Dayang Mazlina binti Haji Ma’awiah selaku tetamu kehormat majlis.

    Turut hadir, Ketua Pegawai Perubatan Panaga Health, Dr Haji Ahmad Fakhri bin Dato Paduka Haji Junaidi, yang dalam ucapannya menyatakan harapannya agar acara tersebut menjadi platform untuk memperkenalkan perkhidmatan Panaga Health kepada masyarakat umum, di samping komuniti Brunei Shell yang sentiasa menerima perkhidmatan mereka dengan penuh komitmen.

    “Ini juga sebagai peringatan bahawa pintu kami sentiasa terbuka kepada semua dan kami mengalu-alukan kehadiran orang ramai, sama seperti penyedia perkhidmatan perubatan swasta lain,” tambahnya.

    Selain itu, ia juga bertujuan bagi meningkatkan kesedaran dalam kalangan masyarakat tempatan terhadap perkhidmatan yang disediakan oleh Panaga Health, yang kini turut boleh diakses oleh orang awam.

    Antara aktiviti yang diadakan sepanjang acara berkenaan termasuk pemeriksaan kesihatan percuma, pemeriksaan pergigian, sesi perbincangan santai bersama doktor, lawatan eksklusif di sebalik tabir kemudahan Panaga Health, demonstrasi pertolongan cemas dan CPR, pameran perkhidmatan, serta tawaran perkhidmatan khas.

    Acara tersebut turut dimeriahkan dengan pelbagai aktiviti interaktif, permainan, cabutan bertuah dan gerai makanan. Hari Terbuka Panaga Health akan diteruskan esok (7 September) dari jam 8 pagi hingga 4 petang.

    Seorang kanak-kanak kelihatan gembira semasa merasai pengalaman menaiki kerusi pengangkut kecemasan semasa lawatan di Panaga Health. – GAMBAR OLEH DANIEL LIM
    GAMBAR OLEH DANIEL LIM
    GAMBAR OLEH DANIEL LIM
    GAMBAR OLEH DANIEL LIM
    GAMBAR OLEH DANIEL LIM

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda