Tuesday, February 4, 2025
23.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Panama akan tamatkan penyertaan inisiatif Jalur dan Laluan China

    MEXICO CITY, 3 FEB – Kerajaan Panama tidak akan memperbaharui memorandum persefahaman dengan China berkaitan Inisiatif Jalur dan Laluan, kata Presiden Jose Raul Mulino selepas mengadakan perbincangan dengan Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS) Marco Rubio, lapor Sputnik/RIA Novosti.

    “Saya telah membuat keputusan penting dan ingin memaklumkannya kepada awda. Kerajaan saya tidak akan memperbaharui memorandum persefahaman 2017 mengenai Inisiatif Jalur dan Laluan.

    “Kami akan mengkaji kemungkinan menamatkan projek ini lebih awal, tetapi saya berpendapat ia sepatutnya diperbaharui dalam setahun atau dua, seperti yang berlaku setiap tiga tahun,” kata Mulino selepas pertemuan itu.

    Menurut laporan Jabatan Negara AS sebelum ini, Rubio memberitahu Mulino dalam mesyuarat di Panama bahawa Presiden AS Donald Trump tidak mahu mengekalkan status quo berhubung Terusan Panama memandangkan pengaruh China yang semakin meningkat di rantau itu.

    Inisiatif Jalur dan Laluan China bertujuan menghubungkan 65 negara di seluruh dunia melalui pembangunan infrastruktur digital dan fizikal termasuk pembinaan jalan raya, pelabuhan dan rangkaian telekomunikasi, bagi menyediakan peluang ekonomi kepada negara-negara terlibat untuk membangunkan infrastruktur. – Bernama

    Jose Raul Mulino berucap dalam sidang media selepas mengadakan pertemuan dengan Marco Rubio di istana presiden di Panama City pada 2 Februari. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda