Monday, December 9, 2024
25.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Panama cipta kejutan atasi AS

    BANDAR PANAMA, 11 OKT – Amerika Syarikat (AS) tewas kepada Panama dalam saingan kelayakan Piala Dunia pertama mereka semalam apabila keputusan jurulatih Gregg Berhalter untuk membuat perubahan tidak membawa makna.

    AS memasuki pertembungan di tempat lawan tanpa kalah dalam lapan perlawanan bertemu Panama, termasuk enam kemenangan, dan menikmati 13 perlawanan tanpa kalah dalam semua pertandingan.

    Namun Panama yang kelihatan beraksi cemerlang menerusi Anibal Godoy, yang menanduk masuk gol pada minit ke-54 sekali gus membolot kesemua tiga mata untuk Panama di Stadium Rommel Fernandez Gutierrez Bandar Panama dan mematahkan bidaan AS untuk mara ke pusingan final pada tahun depan di Qatar.

    Ia merupakan kemenangan yang layak diraih Panama, yang mencipta peluang jaringan gol yang lebih baik berbanding barisan pemain AS.

    AS telah menduduki tangga teratas dalam senarai kelayakan CONCACAF selepas kemenangan 4-1 ke atas Honduras bulan lalu dan diikuti oleh kemenangan 2-0 ke atas Jamaica di Austin Khamis lalu.

    Namun momentum yang dibina oleh dua kemenangan tersebut hancur berkecai selepas Berhalter menamakan barisan baharu untuk pertarungan menentang Panama semalam, yang layak memasuki final Piala Dunia 2018 disebabkan kesilapan AS.

    Hanya empat pemain yang membantu pasukan meraih kemenangan ke atas Jamaica Khamis lalu dinamakan dalam skuad semalam, dengan penyerang Brenden Aaronson dan penjaring remaja berbakat Ricardo Pepi tidak diturunkan. – AFP

    Aksi Eduardo Guerrero (tengah) semasa berebut bola dengan pemain AS dalam perlawanan kelayakan Piala Dunia FIFA 2022 di stadium Rommel Fernandez di Bandar Panama pada 10 Oktober 2021. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda