Sunday, December 22, 2024
26.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Panamera baru lebih tangkas, sportif

    Oleh Pg Fairol RMF

     

    BANDAR SERI BEGAWAN, 27 Ogos – QAF Eurokars melancarkan model generasi kedua Panamera serba baharu berprestasi sportif, bergaya dan mewah di Bilik Pameran Pusat Porsche Brunei, di Beribi semalam.

    Model tambahan kepada barisan keluarga Panamera selepas pelancaran Panamera 4S pada April lalu, ini juga tampak lebih moden, dengan rim aloi 19 inci, lampu LED 4-point dan lampu LED tiga dimensi di belakang, manakala bahagian sisi model baru ini agak lebar sedikit, hampir serupa dengan rekaan model Porsche 911.

    Dengan enjin 3 liter, transmisi lapan kelajuan Doppelkupplung (PDK) Porsche, kuasa V6 Turbo petrol ‘direct injection’ ia mampu menghamburkan kuasa 330 kuasa kuda antara 5400 dan 6400 rpm, bertambah 20 kuasa kuda daripada model Panamera sebelumnya.

    Panamera generasi kedua ini meskipun berprestasi kereta sport, namun ia direka dalam empat pintu dan empat tempat duduk dengan ruang dalamannya yang memaparkan kemewahan dari semua segi.

    Meskipun berprestasi sport, ia direka dalam empat pintu dan empat tempat duduk.
    Ruang dalaman kereta Panamera generasi kedua menampilkan kemewahan dari semua segi.
    Orang ramai menyaksikan pelancaran model generasi kedua Panamera serba baharu berprestasi sportif.

    Pengurus Besar QAF Eurokars, Clement Chong pada penerangan mengenai model tersebut di majlis pelancarannya, mengatakan, “Panamera baru ini kini lebih tangkas, ringan meskipun berprestasi sportif, namun pengawalan pemanduannya hebat. Bagi mereka yang ingin menguji perjalanan jauh dengan Panamera baharu ini, mereka akan mendapatinya lebih selesa kerana ia mempunyai suspensi angin tiga chamber.”

    Menurutnya lagi, pelanggan yang membeli daripada pengedar rasmi Porsche di bawah QAF Eurokars itu boleh membuat permintaan untuk pengubahsuaian mengikut kemahuan mereka.

    Pada majlis pelancaran itu, pelanggan juga menikmati hidangan ringan yang disediakan, kemudian berpeluang menguji pandu pelbagai jenis model Porsche terkini.

    Bagi mereka yang berminat melihat dan menguji sendiri kehebatan Panamera baharu ini, bolehlah datang ke Bilik Pameran Pusat Porsche Brunei.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda