TOKYO, 9 MEI – Syarikat elektronik gergasi Jepun, Panasonic mengumumkan rancangan untuk mengurangkan 10,000 pekerja di seluruh dunia, bersamaan kira-kira empat peratus daripada jumlah keseluruhan tenaga kerjanya seramai hampir 230,000 orang, sebagai sebahagian daripada langkah penstrukturan semula untuk meningkatkan keuntungan.
Pengurangan itu akan dilaksanakan terutamanya dalam tahun kewangan semasa yang berakhir Mac lalu, melibatkan 5,000 pekerja di Jepun dan 5,000 lagi di luar negara.
Menurut Panasonic, pengurangan tenaga kerja itu akan tertumpu kepada jabatan jualan dan bahagian sokongan tidak langsung, selaras dengan penilaian semula keberkesanan operasi dan keperluan sumber manusia di setiap anak syarikat.
Syarikat yang berpangkalan di Osaka itu merupakan pembekal bateri utama kepada pengeluar kenderaan elektrik Amerika Syarikat (AS), Tesla, selain terlibat dalam sektor perumahan, tenaga dan automotif.
Dalam laporan kewangan tahun penuh yang dikeluarkan hari ini, Panasonic melaporkan penurunan 17.5 peratus keuntungan bersih kepada 366 bilion yen bagi tahun kewangan berakhir 31 Mac lalu.

Syarikat itu juga menjangkakan penurunan 15 peratus dalam keuntungan bersih serta kemerosotan lapan peratus dalam jualan untuk tahun ini.
Ia menyifatkan kelembapan permintaan global terhadap kenderaan elektrik sebagai faktor utama yang menjejaskan prestasi perniagaan semasa. Bagaimanapun, kesan daripada tarif perdagangan AS belum dimasukkan dalam unjuran kewangan tersebut.
Ketua Pegawai Eksekutif Panasonic Holdings, Yuki Kusumi, dalam satu wawancara bersama akhbar Nikkei pada April lalu, menjelaskan bahawa langkah pengurangan tenaga kerja adalah perlu agar syarikat dapat terus bersaing secara efektif di peringkat global.
Dia turut menegaskan bahawa pengambilan pekerja secara berperingkat dalam tempoh pertumbuhan kukuh sebelum ini turut memainkan peranan dalam situasi semasa.
Panasonic berharap langkah pembaharuan pengurusan tersebut dapat meningkatkan keuntungan sekurang-kurangnya AS$$1 bilion dalam tempoh terdekat. – AFP