Oleh Ak Zaki Kasharaan
Memancing merupakan hobi dan minat yang digemari ramai dalam mengisi masa-masa lapang bukan sahaja kerana ia dapat memberikan ketenangan apabila melihat hamparan laut dan sungai malah melalui aktiviti tersebut fikiran juga dapat menjadi tenang daripada kesibukan kerja sehari-hari.
Salah seorang peminat tegar pancing tempatan, Awang Mohammad Alwie Haji Mohd Salleh atau lebih dikenali dengan nama Alwie Salleh, yang terlibat dengan aktiviti pancing sejak usianya masih lagi kecil dan masih lagi bersekolah.
Alwie Salleh turut memberitahu bahawa beliau gemar memancing di mana sahaja tempat sama ada di air masin mahupun tawar.
“Memancing selalunya tidak ada tempat yang tetap, Maksudnya saya memancing di mana-mana sahaja, sama ada air tawar mahupun air masin. Tergantung kepada keadaan dan waktu, jika keadaan cuaca tidak mengizinkan untuk pergi ke laut, jadi selalunya saya akan cuba pergi memancing di sungai.
“Kadang-kadang bergantung kepada spesies ikan apa yang hendak dicari di waktu tersebut kerana hobi memancing ini bukan setakat memancing ikan apa sahaja, tetapi juga mencari spesies ikan yang dikehendaki kerana teknik dan peralatan agak berbeza untuk setiap spesies ikan,” jelasnya lagi.

Pada permulaan beliau menceburkan diri dalam hobi memancing ini kebiasaannya beliau hanya akan menggunakan umpan hidup atau umpan mati disebabkan pada ketika itu dirinya masih belum lagi mengerti apa peralatan yang paling sesuai digunakan untuk memancing.
“Pada ketika itu juga memancing hanya sekadar menaikkan ikan tanpa ada arah dan tujuan,” katanya.
Dia mula aktif memancing semasa tahun 2013.
“Saya mula aktif memancing bermula tahun 2013 dengan menggunakan gewang (lure) dan dari sana bermula minat yang mendalam tentang memancing menggunakan gewang ini dan ketika itulah saya mendalami lagi ilmu pengetahuan tentang apa lure fishing atau memancing menggunakan gewang. Antara sebab saya menyukai memancing ialah kerana memancing ini penuh dengan cabaran baik daripada segi fizikal atau pun mental. Ia sangat menguji kesabaran dan ketahanan fizikal,” ujarnya lagi.
Menggunakan teori dan ilmu pengetahuan tentang peralatan, keadaan cuaca, keadaan air dan tempat memancing itu memainkan peranan keberkesanan memancing untuk hari tersebut dan apabila berjaya mendaratkan ikan berdasarkan percubaan demi percubaan memberi kepuasan dan pengalaman yang amat berharga.
Alwie turut mengongsikan beberapa pengalaman manis ketika memancing yang antaranya ialah semasa beliau mewakili negara menyertai pertandingan memancing di luar Negara.