Oleh Raz AS
Memancing udang galah mungkin tidak memberikan debaran pertarungan yang sama dengan memancing ikan, kerana renangan si udang galah bukanlah sekencang mana, akan tetapi kerana keseronokannya yang tersendiri, aktiviti memancing udang galah mempunyai peminatnya yang tersendiri dan semakin ramai.
Memancing udang galah kelihatan mudah, seorang pemancing tekun duduk di belakang barisan joran menanti sang udang menggetu umpan, seakan tiada bezanya dengan memancing ikan.
Namun hakikatnya, hanya dengan menggunakan peralatan pancing dan umpan yang betul sahaja tidak mencukupi.
Tanpa pengetahuan teknik yang betul, seseorang pemancing yang mungkin hebat memancing ikan dijamin tidak akan dapat mendapatkan sang udang walaupun seekor.
Penulis masih ingat, perjalanan dalam memancing udang galah ke kampung halaman penulis di Batu Apoi, Temburong bersama rakan-rakan pejabat beberapa tahun yang lalu.
Kami semua memang meminati aktiviti memancing, namun hanya dua orang daripada kami termasuk penulis sendiri yang berpengalaman dalam aktiviti memancing udang galah.
Manakala dua lagi lebih biasa memancing ikan di laut.
Meskipun cuaca pada masa itu kurang mengizinkan kerana hujan lebat yang berpanjangan dari awal petang hingga ke malam sehingga mengakibatkan air bah turun dari hulu, namun penulis bersama seorang lagi rakan tidak berputih mata kerana berjaya mendaratkan sang buruan pada sebelah pagi.
Manakala yang dua lagi hanya berjaya mendaratkan sang baung sebagai sagu hati, manakan tidak, mata yang lalai tidak akan dapat mengesan getuan lembut udang yang kadang-kadang hanya menggerakkan sedikit tali dan henjutan kecil pada hujung joran dibalas dengan refleks sentapan ganas bak menyentap tenggiri di laut.
