Thursday, April 25, 2024
27.9 C
Brunei

    -

    Pancingan dasar, teknik asas tetapi seronok

    Oleh Raz AS

    Pancingan dasar ataupun bottom fishing merupakan teknik pilihan kepada ramai pemancing di luar sana. Senang dan seronok serta kebolehannya untuk menangkap pelbagai jenis ikan daripada yang bersaiz kecil hinggalah yang bersaiz besar menjadi faktor utama kepopularannya.

    Secara amnya, pancingan dasar adalah teknik yang memerlukan pemancing untuk menurunkan umpan atau lure hingga ke dasar. Untuk tujuan tersebut, penggunaan batu ladung adalah diperlukan atau lure yang berat. Meskipun ia kedengaran mudah dan ringkas, namun pemancing boleh menggunakan pelbagai cara, teknik, gaya, umpan dan persembahan bergantung pada perairan tempat mereka memancing serta spesies buruan mereka.

    Mudah tidak bererti 100 peratus pasti berjaya, untuk itu pemancing masih perlu memahami selok-beloknya.

    Tempat

    Bermula daripada pemilihan tempat, pemancing perlu tahu di mana ikan berada. Sesetengah pemancing mengumpamakan dasar laut ibarat padang pasir dengan tempat-tempat yang menjadi tumpuan kehidupan laut bertaburan di seratanya. Tempat-tempat ini menarik pelbagai hidupan laut, sama ada sebagai tempat untuk mencari makan atau tempat berlindung.

    Tempat-tempat ini selalunya berupa struktur yang ada di dasar, tidak kiralah dalam rupa batu karang, reba atau formasi bawah air. Tempat-tempat inilah yang menjadi ‘pulau harta karun’ kepada pemancing-pemancing dasar. Tidak kira struktur tersebut kecil saja awda pasti akan terkejut dengan berapa banyak ikan yang boleh didapati di sana.

    Ini tidak terhad kepada hidupan marin sahaja. Muara atau sungai, air masin atau air tawar, menjadikan tempat yang berstruktur sebagai sasaran tempat melabuh umpan selalunya akan membuahkan hasil.

    Secara amnya, pancingan dasar adalah teknik yang memerlukan pemancing untuk menurunkan umpan atau lure hingga ke dasar. – Agensi
    Sesetengah pemancing mengumpamakan dasar laut ibarat padang pasir dengan tempat-tempat yang menjadi tumpuan kehidupan laut bertaburan di seratanya. – Agensi

    Peralatan

    Seperti mana juga teknik-teknik memancing yang lain, peralatan untuk pancingan dasar bergantung pada di mana dan apa yang hendak dipancing. Dalam erti kata lain, jika ingin memancing ikan keratang jangan gunakan peralatan memancing ikan gelama. Jika ingin memancing ikan muara jangan gunakan peralatan memancing udang galah.

    Walau bagaimanapun bagi peralatan terminal atau jenisnya bolehlah ditukar mengikut kesesuaian dan keselesaan, seperti jenis batu ladung, jenis tali, mata kail, perambut, jenis reel dan panjang joran.

    Batu ladung

    Secara amnya bagi pilihan batu ladung, terdapat tiga jenis bentuk iaitu bulat, bujur dan piramid. Batu ladung berbentuk bulat sesuai digunakan untuk keadaan biasa, batu bujur sesuai digunakan di kawasan berstruktur kerana lebih mudah ‘melasut’ di celah-celah batu atau akar, manakala jenis piramid pula sesuai digunakan di kawasan pantai atau air ‘bangat’.

    Saiz dan berat batu ladung bergantung pada kedalaman perairan dan keadaan arus. Semakin dalam tempat tersebut atau semakin bangat arusnya, semakin beratlah batu ladung yang digunakan. Meskipun begitu ramai pemancing bersetuju bahawa berat batu ladung jangan digunakan yang terlalu berat, cukup sekadar dapat membawa umpan ke dasar dan tidak dihanyutkan.

    Ini kerana batu ladung yang berat bukan sahaja boleh menyukarkan kita mengesan getuan ikan bahkan boleh menyukar kita untuk menggulungnya naik.

    Tali

    Bagi pemilihan tali pula, bergantung pada pilihan masing-masing. Ada yang suka menggunakan tali mono, fluoro atau braided. Namun setiap peman-cing perlu tahu kekuatan dan kelemahan setiap jenis tali ini.

    Tali mono murah dan mudah diurus, namun kerana ia bersifat terapung dan kuat renggangan ia tidak ideal digunakan di kawasan perairan dalam. Manakala fluoro pula sedikit lebih mahal, ‘halimunan’ di perairan jernih dan mudah tenggelam namun sukar untuk diurus. Sementara itu tali braided, lebih mahal namun sesuai digunakan untuk perairan dalam kerana sifat kurang renggangannya memudahkan isyarat cepat sampai kepada pemancing.

    Kadang-kadang awda perlu menggunakan gabungan lebih daripada satu jenis tali untuk tujuan dijadikan sebagai shock leader atau tali perambut, terutama sekali jika menggunakan tali braided.

    Mata kail

    Untuk mata kail pula, penggunaan circle hook yang mampu tertancap sendiri di mulut ikan dengan tidak memerlukan hook set dilakukan seperti mata kail J sangat sesuai untuk pemancing baharu. Saiz mata kailnya pula jangan terlalu besar, sesuaikan dengan spesies buruan.

    Perambut

    Bagi jenis perambut, hendaklah gunakan perambut batu hidup seperti carolina rig atau knocker rig dan sebagainya, mahupun batu yang diikat seperti perambut anjun atau drop rig adalah mengikut pilihan masing-masing.

    Umpan

    Menggunakan umpan mati merupakan pilihan paling senang buat ramai orang, kerana awda boleh membelinya di mana-mana seperti kedai umpan, pasar, pasar raya dan lain-lain. Tidak kiralah menggunakan isi ikan, udang, sotong dan lain-lain, kuncinya adalah dengan membiarkan umpan itu berada di dasar.

    Manakala penggunaan umpan hidup pula, sudah semestinya jauh lebih baik berbanding umpan mati. Namun ia memerlukan lebih sedikit usaha sedari awal lagi bagi memastikannya terus hidup dalam bekas umpan setelah dibeli atau ditangkap. Akan tetapi kerana keberkesanannya semua usaha lebih itu pasti berbaloi.

    Selain itu awda juga boleh menggunakan umpan tiruan atau lure. Umpan tiruan datang dalam pelbagai bentuk dan saiz. Menggunakannya memerlukan lebih sedikit kemahiran, namun rata-rata siapa yang pernah menggunakannya pasti mengakui bahawa menangkap ikan menggunakan umpan tiruan akan terasa lebih puas lagi.

    Reel dan joran

    Pemilihan kombo yang betul bergantung pada apa yang hendak dipancing dan di mana. Jika hendak memancing di kawasan sungai, muara atau pesisir pantai, set pancing ringan dan sederhana sudah memadai.

    Bagi kebanyakan pemancing, joran berkepanjangan 6 hingga 7 kaki panjang merupakan pilihan terbaik jika awda tidak perlu melontar jauh. Semakin panjang joran yang digunakan semakin jauh lontaran yang boleh dibuat.

    Bagi reel pula, set spinning merupakan pilihan terbaik jika memancing dari tebing atau jeti. Manakala jika memerlukan lontaran yang lebih jauh dan tepat, baitcaster bolehlah digunakan.

    Perahu

    Apabila memancing dasar dengan berperahu arus boleh menjadi ‘musuh’ atau ‘kawan’ kerana ia akan mempengaruhi kedudukan kita. Bagi peman-cing dasar, umpan perlu dilabuhkan dekat dengan struktur untuk mendapat hasil untuk itu kegunaan sauh sangat penting bagi mengelakkan perahu hanyut.

    Walau bagaimanapun, teknik pancingan dasar juga boleh dilakukan dengan teknik perahu berhanyut yang membolehkan pemancing merangkumi lebih kawasan berstruktur yang luas.

    Sekiranya memancing di kawasan air cetek dengan teknik berhanyut, pancing dilontar ke hadapan mengikut arus, oleh itu apabila perahu semakin dekat mengikut arus, pancing perlahan-lahan digulung cukup agar tali sentiasa kencang. Setelah umpan yang dilabuh tegak ke bawah pancing digulung dan dilontar ke hadapan lagi. Sedemikian itu perbuatan itu diulang.

    Tebing

    Memancing dasar dari tebing atau pantai tidaklah sebebas berbanding memancing berperahu, oleh itu pemancing harus bijak membaca keadaan kawasan. Kenal pasti terlebih dahulu sekiranya terdapat struktur berdekatan atau di dasar. Dengan melawat tempat tersebut ketika air surut, membaca pecahan ombak atau lebih senang lagi bertanyakan pada penduduk setempat awda akan lebih tahu di mana umpan perlu dilabuh untuk meningkatkan peluang mendapat ikan.

    Tidak kiralah bagi pemancing baharu dan lama, teknik pan-cingan dasar memberikan keseronokan yang tidak terhingga. Dengan peluang untuk memperoleh tangkap spesies yang pelbagai, pelbagai teknik, cara dan gaya yang boleh dipraktikkan ia akan memberikan pengalaman, pembelajaran dan pengetahuan baharu di mana jua lokasi awda memancing.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Gangguan bekalan elektrik, pelepasan air terawat Fukushima digantung

    TOKYO, 24 APRIL - Pelepasan air sisa terawat ke lautan dari loji nuklear Fukushima yang rosak telah digantung hari ini berikutan gangguan bekalan elektrik...