Tuesday, December 24, 2024
24.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Panda An An, Ke Ke rai Krismas pertama

    HONG KONG, 23 DIS – Sepasang panda berusia lima tahun, An An dan Ke Ke, meraikan Krismas pertama lebih awal di sebuah taman di Hong Kong hari ini dan menikmati hidangan istimewa.

    An An, panda jantan, dihadiahkan satu blok ais dengan ubi manis dan lobak merah, manakala Ke Ke, pasangan betina, diberikan patung salji yang dihias dengan hirisan lobak dan epal dalam satu acara khas sebelum pengunjung mula memenuhi taman tersebut.

    China menghantar pasangan panda itu ke Hong Kong pada akhir September sebagai usaha untuk meningkatkan pelancongan di bandar tersebut.

    Kedua-duanya menjalani tempoh kuarantin selama beberapa bulan sebelum membuat penampilan sulung kepada pengunjung di taman tema Ocean Park, menyertai empat ekor panda lain.

    An An digambarkan sebagai panda yang bijak dan aktif, manakala Ke Ke dikenali kerana sifatnya yang lembut dan kebolehannya memanjat.

    Panda secara meluas dilihat sebagai maskot tidak rasmi China, kerana ia hanya ditemui di barat daya China dan populasinya terancam akibat pembangunan.

    Kerajaan China secara aktif membiakkan panda dan membesarkannya sebagai sebahagian daripada program kebangsaan. Ia juga meminjamkan haiwan-haiwan tersebut dalam program antarabangsa dengan zoo luar negara sebagai sebahagian daripada diplomasi kuasa lembut Beijing.

    Ocean Park Hong Kong telah menjadi tuan rumah panda sejak tahun 1999, apabila pasangan pertama, An An dan Jia Jia, tiba di bandar itu tidak lama selepas kembalinya Hong Kong ke pangkuan China dari jajahan British. – AP

    Gambar yang dikeluarkan oleh Hong Kong Ocean Park menunjukkan panda Ying Ying bergambar dengan hidangan Krismas pada 19 Disember. – AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda