Saturday, February 15, 2025
27.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Panda gergasi tertua, Eimei mati pada usia 32 tahun

    SHANGHAI, 14 FEB – Eimei, panda gergasi tertua di dunia yang pernah dipinjamkan oleh China kepada Jepun, mati pada usia 32 tahun, bersamaan dengan 100 tahun umur manusia, umum sebuah pusat penyelidikan panda di China hari ini, lapor Kyodo.

    Eimei, yang menjadi bapa kepada 16 anak panda di sebuah zoo di Wilayah Wakayama, barat Jepun, mati pada 25 Januari akibat kegagalan pelbagai organ, lapor Kyodo News dengan memetik Pangkalan Penyelidikan Pembiakan Panda Gergasi Chengdu di Wilayah Sichuan.

    Pada hari-hari terakhirnya, Eimei mengalami kemerosotan kesihatan dengan simptom seperti kelesuan, hilang selera makan dan kesukaran bernafas. Pusat berkenaan menzahirkan rasa dukacita yang mendalam atas kematian panda itu, yang membuka lembaran baharu dalam kerjasama pemuliharaan panda gergasi di peringkat antarabangsa.

    Eimei tiba di Jepun secara pinjaman pada 1994 ketika berusia satu tahun dan menghabiskan hampir tiga dekad di Zoo Adventure World di Wakayama sebagai sebahagian daripada program kerjasama pembiakan antara kedua-dua negara Asia itu.

    Pada Februari 2023, Eimei dihantar pulang ke China bersama anak kembarnya, Ouhin dan Touhin. – Bernama

    Gambar bertarikh 14 September 2022 menunjukkan Eimei di Adventure World di Shirahama, Wakayama, Jepun. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda