BANGKOK, 6 MAC – Pegawai kastam Thailand telah menahan enam warga India kerana cuba menyeludup seekor panda merah dan 86 haiwan lain keluar dari negara itu, termasuk ular, burung kakak tua dan biawak, kata pegawai hari ini.
Koleksi haiwan-haiwan terlarang tersebut ditemui disembunyikan di dalam bagasi yang dibawa oleh suspek di Lapangan Terbang Suvarnabhumi, Bangkok ketika mereka cuba terbang ke Mumbai, India.
Thailand merupakan hab transit utama bagi penyeludup hidupan liar, yang sering menjual haiwan-haiwan terancam di China dan Vietnam, walaupun peningkatan dalam pemerdagangan ke India telah diperhatikan dalam beberapa tahun kebelakangan ini.
“Kami mendapati haiwan-haiwan itu terdiri daripada 29 biawak tekak hitam, 21 ular, 15 burung, termasuk burung kakak tua – yang berjumlah 87 haiwan. Ia disembunyikan di dalam bagasi,” kata Jabatan Kastam dalam satu kenyataan.
Gambar-gambar yang dikeluarkan oleh jabatan itu menunjukkan panda merah – spesies terancam – mengintai keluar dari bakul rotan dan burung kakak tua ditutup dalam bekas plastik dengan lubang udara yang digerudi di penutupnya.
Bekas-bekas plastik lain mengandungi biawak, manakala ular dilihat berlilit bersama di dalam beg kain.
Suspek-suspek berdepan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau empat kali ganda jumlah duti import. – AFP
