Pelakon berpengalaman, Jasmin Hamid memuji sikap dan komitmen yang diberikan penyanyi, Nabila Razali sepanjang penggambaran drama, Pesan Pada Hati.
Jasmin yang sebelum ini pernah menegur segelintir pelakon yang bersikap seperti acuh tidak acuh di lokasi penggambaran mengakui, selesa bekerjasama dengan penyanyi yang popular menerusi lagu Pematah Hati itu.
Sambil menitipkan pesanan, Jasmin juga berharap, sikap rendah diri akan terus dekat dengan jiwa penyanyi lagu Vroom Vroom itu.
Drama bersiri Pesan Pada Hati terbitan Pena Creative Pictures adalah arahan terakhir Allahyarham Raja Ahmad Alauddin yang turut menampilkan Shukri Yahaya dan Chacha Maembong sebagai pelakon utama. Ia bakal disiarkan menerusi slot Lestary di TV3.
Jasmin sebelum ini, menerusi Instagram meluahkan perasaan kesal dengan sikap segelintir pelakon baharu yang terlalu sibuk dengan media sosial di lokasi penggambaran hingga menjejaskan kualiti kerja mereka.
Menerusi entri sama, Jasmin turut menasihatkan pelakon generasi baharu supaya lebih serius dan fokus kepada kerjaya serta tidak terlalu ghairah mengumpul pengikut di media sosial. – Agensi
