KUALA LUMPUR, 11 APRIL – Ratu terjun Malaysia, Datuk Pandelela Rinong gagal layak ke final acara 10 meter (m) platform wanita di Piala Dunia Terjun Akuatik 2025 di Windsor, Kanada, semalam.
Dalam pusingan awal yang berlangsung pada awal pagi itu, Pandelela menamatkan saingan di tempat ke-20 dengan mengumpul 235.90 mata sekali gus terlepas slot 12 terbaik untuk melangkah ke final pada Ahad ini.
Penerjun China, Quan Hongchan dan Chen Yuxi mendominasi acara itu apabila merebut dua tempat teratas.
Quan, pemenang pingat emas acara 10m platform pada Sukan Olimpik Tokyo 2020 dan Paris 2024, meraih 404.15 mata untuk berada di tempat pertama.
Sementara itu, Chen yang bergandingan dengan Quan untuk merangkul pingat emas dalam acara 10m platform seirama di Paris 2024, di tempat kedua dengan 376.45 mata. – Bernama
