GENEVA, 27 APRIL – Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengingatkan jika mana-mana negara melanggar undang-undang atas nama memerangi wabak COVID-19, maka ia berisiko mencetuskan bencana hak asasi manusia.
Pesuruhjaya Tinggi PBB untuk Hak Asasi Manusia, Michelle Bachelet, menggesa negara berkenaan tidak melanggar hak asasi dengan alasan ‘di luar kelaziman’ atau darurat.
“Kekuatan darurat tidak seharusnya dijadikan senjata kerajaan untuk mematahkan perbezaan pendapat, mengawal penduduk dan mengabadikan mereka dalam kekuasaan,
“Kerajaan harus menggunakannya untuk mengatasi pandemik dengan berkesan, tidak lebih, tidak kurang,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Bachelet sedia maklum bahawa negara ada hak untuk menyekat beberapa hak demi melindungi kesihatan awam, tetapi beliau mendesak apa juga sekatan dilakukan secara berpada, tidak mendiskriminasikan dan terhad pelaksanaannya.
“Terdapat banyak laporan dari kawasan berbeza yang polis dan pasukan keselamatan menyalah guna kuasa sehingga kadang-kadang mengundang maut, apabila memaksa orang ramai mematuhi perintah dan tempoh berkurung.
“Pelanggaran seperti ini sering dilakukan terhadap golongan penduduk miskin dan paling terdedah.
“Menembak, menahan atau mendera seseorang yang melanggar tempoh berkurung kerana mereka terdesak mencari makanan jelas sekali tidak boleh diterima dan menyalahi undang-undang,” katanya.
Tegas beliau, terdapat beberapa membabitkan kematian yang berpunca daripada penguatkuasaan undang-undang secara keterlaluan sedangkan ia sepatutnya menyelamatkan mereka.
Tegasnya, penangkapan besar-besaran di beberapa negara atas alasan pelanggaran perintah berkurung adalah tidak perlu, malah tidak selamat.
“Lokap dan penjara adalah persekitaran berisiko tinggi dijangkiti COVID-19 dan negara harus tumpukan pembebasan sesiapa yang wajar dibebaskan, bukannya menahan lebih banyak orang.
“Jika undang-undang tidak ditegakkan, maka darurat kesihatan awam berisiko menjadi bencana hak asasi manusia, dengan kesan negatif yang akan berlanjutan lebih lama berbanding wabak itu sendiri,” katanya. – AFP