Wednesday, May 14, 2025
25.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Pandemik dorong perubahan pendidikan ke arah digitalisasi

    Oleh Nurdiyanah R.

    Penularan wabak COVID-19 setentunya menyebabkan masyarakat global amnya terpaksa keluar daripada kebiasaan gaya hidup yang sedia ada ke arah kehidupan ‘norma baharu’.

    Impak ini tidak terkecuali turut dirasai dalam bidang pendidikan apabila implikasi wabak ini mengubah struktur sistem pembelajaran yang berpaksikan guru dan murid secara langsung ke arah kaedah lebih menjurus kepada nilai digitalisasi iaitu pengajaran dan pembelajaran dalam talian.

    Pastinya Kementerian Pendidikan sentiasa berusaha segera mengenal pasti senario yang mungkin berlaku, sekali gus merangka persediaan menghadapi cabaran demi melonjakkan kelestarian pendidikan.

    “Dalam menghadapi krisis kesihatan sebegini, pastinya ia turut memberi cabaran besar kepada dunia pendidikan termasuklah Sekolah Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah (YSHHB) sendiri. Belajar daripada sebuah pengalaman semasa gelombang pertama itulah kunci segalanya.

    “Cabaran demi cabaran yang melanda bukanlah satu penghalang untuk kami terus bersatu dan berusaha mengatur segala perancangan dan langkah-langkah serta strategi demi meneruskan kelangsungan pengajaran dan pembelajaran para pelajar dari semasa ke semasa, lebih-lebih lagi ketika negara mengalami penularan gelombang kedua COVID-19 sejak Ogos lalu,” ujar Ketua Pegawai Eksekutif, Sekolah YSHHB, Mohamed Fliti Abdel Majed.

    Ketua Pegawai Eksekutif, Sekolah YSHHB, Mohamed Fliti tetap komited mengorak langkah secara positif demi kelestarian pendidikan. – Gambar oleh Muiz Matdani
    Golongan pelajar dan juga guru-guru memerlukan lebih banyak data bagi kemudahan Internet dalam meniti suasana norma baharu ini di kediaman masing-masing.
    Impak wabak COVID-19 mengubah struktur sistem pembelajaran secara langsung ke arah kaedah lebih menjurus kepada nilai digitalisasi iaitu pengajaran dan pembelajaran dalam talian.

    Pentingnya dua pendekatan

    Semestinya dalam menempuhi impak penularan COVID-19 ini, Mohamed Fliti menjelaskan Sekolah YSHHB begitu komited dalam menjalankan dua pendekatan tertentu iaitu berkisar daripada proses perancangan dan pengalaman.

    “Apa yang telah dilaksanakan oleh pihak sekolah adalah melalui tiga peringkat dalam proses perancangan terdiri daripada pre-planning, while-planning dan post-planning terutama dalam menghadapi liku-liku cabaran pendidikan dalam gelombang kedua ini.

    “Sementara pendekatan kedua pula dengan memegang prinsip bahawa setiap kegagalan yang dihadapi itu pemangkin untuk meraih kejayaan. Semakin banyak kita belajar daripada pengalaman maka dari situ kita mampu meningkatkan prestasi yang lebih baik pada masa depan,” jelasnya lagi.

    Utamakan solution-based

    Tambah Mohamed Fliti lagi, apabila berbicara mengenai peranan seorang pemimpin pastinya sudah menjadi tanggungjawabnya untuk mewujudkan suasana nilai-nilai moral dan semangat aspirasi kepada seluruh kakitangan sekolah antaranya melalui pendekatan kerjasama disertai dengan solution-based berbanding problem-based.

    “Kami tidak mahu apabila timbulnya isu atau permasalahan yang berlaku, ia dijadikan satu alasan tertentu untuk dihindari dan tanpa melakukan apa-apa bahkan dalam situasi sebegini kami sentiasa berusaha mencari jalan keluar bersama-sama,” tegasnya dengan penuh keyakinan.

    Kongsinya lanjut, meskipun terdapat beberapa rintangan yang sukar dielakkan berlaku ketika sedang melaksanakan proses pengajaran dan pembelajaran dalam talian dalam meniti impak penularan ini antaranya golongan pelajar dan juga guru-guru memerlukan lebih banyak data bagi kemudahan Internet dalam meniti suasana norma baharu ini di kediaman masing-masing, di samping cabaran yang turut dihadapi oleh golongan ibu bapa atau penjaga bersama anak-anak mereka.

    “Walaupun cabaran demi cabaran mewarnai norma baharu ini namun begitu kita berjaya juga menyaksikan hasil pencapaian yang sangat positif di mana pengajaran dan pembelajaran dalam talian mampu diteruskan sehari-hari dengan adanya kedatangan para pelajar seperti yang dihasratkan.

    “Bukan setakat itu, impak positif turut dapat dilihat apabila pihak ibu bapa atau penjaga tetap komited berkerjasama dengan pihak sekolah,” tambahnya lagi yang sememangnya berharap keadaan negara khususnya akan beransur pulih dengan kehadiran kembali para pelajar dan guru-guru serta kakitangan yang lain ke sekolah untuk memeriahkan suasana sekolah seperti sebelumnya.

    Ke arah pendidikan berkonsepkan hibrid

    Dalam pada itu, Mohamed Fliti turut berkongsi adalah menjadi perancangan terdekat sekolah berkenaan untuk melaksanakan pendidikan berkonsepkan Hybrid Learning Model iaitu gabungan pengajaran dan pembelajaran bersemuka atau fizikal dan juga dalam talian.

    “Konsep model ini sebagai salah satu strategi untuk meneruskan pengajaran dam pembelajaran dengan lebih baik, lebih-lebih lagi dalam kita menantikan kedatangan golongan pelajar di peringkat menengah yang sudah menerima suntikan vaksin sepenuhnya ke sekolah pada bulan Januari tahun nanti.

    “Manakala golongan pelajar yang belum dibolehkan menerima suntikan vaksin pula masih diteruskan dengan pembelajaran mereka secara maya seketika sehingga adanya pengesahan terkini dari Kementerian Kesihatan dan Kementerian Pendidikan,” ujarnya lagi.

    Jelas Mohamed Fliti lagi, bukan hanya untuk melihat mereka duduk di atas meja semata-mata tetapi apa yang kami ingin mereka sentiasa aktif dari pelbagai aspek seperti berkomunikasi antara satu sama lain, berbincang bersama, melakukan pembentangan dan perbahasan serta sentiasa bergerak aktif dalam pelbagai bidang.

    “Namun begitu, semasa musim pandemik ini, kami sentiasa berjuang dan berusaha untuk menjadikan pembelajaran dalam talian bersama mereka dengan sebaiknya. Hakikatnya, kita tiada pilihan lain di saat krisis ini tetapi sekurang-kurangnya lebih baik ada daripada tiada usaha langsung kerana apa yang penting adalah kelangsungan perkembangan pendidikan anak bangsa,” ucapnya dengan penuh harapan semasa mengakhiri sesi temu bual bersama Media Permata, baru-baru ini.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda