Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 29 NOV – Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) melalui anggota penyiasat Balai Polis Bandar Seri Begawan telah menjalankan siasatan mengenai rakaman video tular di media sosial memaparkan sebuah kenderaan yang dipandu pada arah yang bertentangan dan menimbulkan perasaan cemas kepada pengguna jalan raya.
Kejadian berlaku di kawasan Lebuh raya Hassanal Bolkiah menghala ke Bandar Seri Begawan pada 29 November sekitar jam 12:20 tengah hari. Menerusi siasatan yang dijalankan, pihak polis telah berhasil mengesan pemandu berkenaan dan seterusnya menjalankan soal siasat bagi mengetahui punca sebenar insiden berlaku.
Di samping itu, suspek juga akan berdepan dengan dua kesalahan di bawah Akta Lalulintas Jalanraya Penggal 68 iaitu Seksyen 28 iaitu pemanduan yang cuai dan berbahaya dan Seksyen 39 (1) b iaitu cuai dengan petunjuk arah isyarat lalulintas.
PPDB ingin menekankan kepada masyarakat awam untuk sentiasa patuh terhadap peraturan-peraturan jalan raya di negara ini tanpa sebarang kompromi.
Pastikan untuk merancang perjalanan dengan lebih terperinci dengan merujuk petunjuk-petunjuk arah perjalanan bagi mengelak daripada sebarang kemungkinan perkara-perkara yang tidak diingini berlaku semasa dalam pemanduan.
