Oleh Pg Fairol RMF
Gambar oleh Porsche Centre Brunei
BANDAR SERI BEGAWAN, 30 April – QAF Eurokars Sdn Bhd baru-baru ini buat julung kalinya telah mengadakan Jerayawara Dunia Porsche (PWRS) di Negara Brunei Darussalam.
Program yang diadakan selama dua hari bermula 27 hingga 28 April di Taman Permainan Jerudong berkenaan menjemput para pelanggan Porsche untuk mendalami pengalaman penuh dan kepelbagaian pemanduan menggunakan pelbagai jenis kereta jenama Porsche.
Pengurus Besar QAF Eurokars, Lahiru de Silva dalam ucapan alu-aluannya berkata bahawa program ini dianjurkan bagi memberi peluang kepada pelanggan sedia ada dan pelanggan baharu menjalani uji pandu pelbagai jenis model Porsche.
“Melalui program ini, para peserta yang juga pemilik Porsche sedikit sebanyak dapat belajar sambil menimba pengalaman bagi mendalami kawalan, kecemasan dan sudah tentu menggunakan kuasa jenteranya ke tahap tertinggi terutama semasa menjalankan ujian slalom,” tambahnya.
Selain itu, para peserta turut berpeluang menyaksikan model terbaharu Porsche 911 Carrera 4S yang diperkenalkan pada pagi itu sebelum dilancarkan secara rasmi dalam sedikit masa lagi.


Diinspirasikan daripada PW-RS, acara pemanduan profesional serupa telah diadakan di lebih 45 negara di seluruh dunia. Porsche Centre Brunei kini menjadi hos kepada jerayawara tersebut bagi pelanggan berpotensi dan peminat kereta mewah itu untuk merasai pengalaman sensasi memandu pelbagai barisan model Porsche seperti 718 Boxster, Panamera, Cayenne dan Macan.
Semasa acara eksklusif berkenaan, Porsche Centre Brunei juga bekerjasama dengan jenama lain seperti pengeluar tayar terkemuka di dunia, Michelin dan Mobil 1 yang membekalkan minyak berkualiti untuk pengalaman pemanduan tersebut.
Dalam program berkenaan, para pelanggan diberi peluang untuk menguji ketangkasan varian model Porsche daripada SUV hinggalah kepada jenis kereta lumba 911, 718 Boxster S, Panamera, Cayenne dan Macan yang disediakan khas untuk program selama sehari itu yang juga dikendalikan oleh pelatih profesional bertauliah Porsche, Weiron Tan dan Reid Harker.
Dayang Azrina binti Mohd Zin antara yang menyertai program tersebut amat gembira dengan layanan baik pasukan Porsche Centre Brunei.
“Dari awalnya kami tiba bersama peserta lainnya dan diberikan sarapan pagi istimewa serta baju-T dikhaskan bagi program berkenaan,” kata beliau.
Sebelum latihan pemanduan bermula, beliau bersama Hajah Siti Norsyahdina Sabrina binti Haji Sallehuddin diberi keterangan secara terperinci mengenai prestasi, model dan ciri-ciri keselamatan selain menjalani praktikal memandu pelbagai jenis model Porsche.
“Setiap individu diberikan latihan oleh pelatih bertauliah Porsche bermula dari asas-asas pemanduan dan kawalan kenderaan kepada yang lebih agresif seperti latihan slalom, brek secara mengejut dan pengendalian kereta dalam tahap kelajuan tinggi serta pengenalan penggunaan bantuan teknologi Porsche Stability Management (PSM) untuk kegunaan di dalam dan di luar litar perlumbaan.”
Dayang Azrina menambah, pengalaman ini setentunya tidak dapat dilupakan kerana semasa PWRS selama dua hari itu, pelbagai pengajaran peman-duan sebenar diperoleh terutama tentang kawalan dan posisi tempat duduk dengan kedudukan secara teratur.
“Dengan latihan ini, kami dapat menggunakannya untuk pemanduan seharian terutama bagi pemilik kereta Porsche dan meningkatkan keselamatan memandu di jalan raya.
“Diharap lebih ramai pemilik Porsche atau bakal pemilik Porsche menyertai program pemanduan PWRS pada masa depan bagi menimba sendiri pengalaman mewah dan menyeronokkan memandu kereta Porsche.”
Program PWRS diakhiri dengan penyampaian sijil penyertaan dan pemenang kepada pemandu terbaik PWRS 2019 di Brunei yang disandang oleh Awang Aziz Idris dan Melvin Lo bagi hari pertama, manakala Michael Liew dan Ratna Ika Hamzad pula telah dipilih sebagai pemenang pada hari kedua.