Sunday, December 22, 2024
26.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Panduan asas hadapi bencana

    Oleh Yusrin Junaidi

     

    BANDAR SERI BEGAWAN, 5 Feb – Pusat Pengurusan Bencana Kebangsaan (NDMC) telah menghasilkan aplikasi mudah alih dinamakan ‘Safety Guide’ bagi mendidik dan memberi panduan asas kepada orang ramai sebagai persediaan bagi menghadapi sebarang bentuk kecemasan atau bencana.

    Pelancaran aplikasi berkenaan telah diadakan semasa Program Bandarku Ceria di Taman Haji Sir Muda Omar ‘Ali Saifuddien, di ibu negara dan disempurnakan oleh Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Kerna Dato Seri Setia (Dr.) Haji Awang Abu Bakar bin Haji Apong.

    Turut hadir di majlis pelancaran berkenaan ialah setiausaha tetap di Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri (KHEDN), timbalan setiausaha tetap, para pegawai kanan, pegawai dan kakitangan serta para jemputan khas.

    Antara isi kandungan aplikasi mudah alih berkenaan adalah doa menolak bencana, tatacara memberi pertolongan cemas, tindakan-tindakan yang boleh diambil apabila berlaku kecemasan atau bencana, panduan keselamatan kebakaran dan tindakan-tindakan bagi melindungi diri daripada ancaman pengganasan.

    Aplikasi berkenaan boleh dimuat turun secara percuma di App Store bagi pengguna iOs dan Google Play Store bagi pengguna Android, malah ia boleh diakses dalam Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris.

    Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri ketika melancarkan aplikasi ‘Safety Guide’ kelmarin.
    Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri ketika melancarkan aplikasi ‘Safety Guide’ kelmarin.
    Yang Berhormat Pehin Haji Awang Abu Bakar bertanya sesuatu semasa menyaksikan aktiviti mewarna anjuran NDMC.
    Yang Berhormat Pehin Haji Awang Abu Bakar bertanya sesuatu semasa menyaksikan aktiviti mewarna anjuran NDMC.

    Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan dan dialu-alukan untuk memuat turun aplikasi berkenaan dan mengambil inisiatif masing-masing untuk mempelajari maklumat yang dikongsikan agar menjadi lebih waspada dan sentiasa bersedia bagi menghadapi sebarang kemungkinan.

    Salah seorang pengunjung Bandarku Ceria, Awang Irwan bin Osman ketika ditemu bual mengenai aplikasi berkenaan berkata, ia sangat bagus dan amat berguna untuk orang ramai, kerana jika mengalami musibah, orang ramai terutama mereka yang terlibat dalam satu-satu musibah akan mempunyai panduan asas dan bertindak mengikut panduan sebelum bantuan tiba di tempat kejadian.

    Sejurus selepas melancarkan aplikasi berkenaan, Yang Berhormat Pehin Haji Awang Abu Bakar juga menyaksikan aktiviti mewarna anjuran NDMC yang disertai oleh lebih 20 orang kanak-kanak dan seterusnya pihak NDMC juga mengagih-agihkan ‘Buku Panduan Asas Kecemasan dan Keselamatan Awam’ kepada orang ramai yang berkunjung ke BandarKu Ceria.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda