Oleh Raz AS
Kawasan muara sungai merupakan wilayah badan air yang terletak di kawasan pesisir, di mana sebatang sungai atau lebih, mengalir dan bertemu dengan laut.
Kawasan ini selalunya berair masin atau ‘bahal’ bergantung dengan keadaan daripada faktor-faktor yang berbeza.
Secara amnya, kawasan muara merupakan tempat memancing popular kerana terdapat spesies ikan yang hanya boleh didapati di kawasan tersebut, manakala ada juga yang datang singgah mengikut musim untuk tujuan membiak.
Perairan muara yang tenang dibandingkan dengan laut yang bergelora menjadikan ia sebagai habitat yang sangat sesuai bagi telur-telur dan anak-anak ikan membesar. Anak-anak ikan ini juga merupakan sumber makanan yang menarik perhatian ikan-ikan pemangsa yang besar.
Cari ikan di kawasan berstruktur
Kawasan muara yang mempunyai struktur semula jadi dan buatan manusia, seperti rumpai, bakau, dasar berbatu, tembok, jeti, jambatan dan lain-lain lagi, merupakan kawasan di mana ikan-ikan selalunya akan berkumpul untuk bersembunyi, mendapatkan perlindungan atau mencari makan.

Oleh yang demikian, kawasan-kawasan yang mempunyai struktur ini merupakan tempat yang popular bagi pemancing-pemancing yang berpengalaman untuk melabuhkan umpan mereka.
Untuk mengenal pasti kawasan-kawasan yang mempunyai struktur yang tenggelam adalah dengan memantau kawasan padang pancing ketika air surut besar, atau lebih baik lagi jika menggunakan imbasan sonar.
Kenal pasti keadaan air
Setiap jenis ikan mempunyai zon selesanya yang tersendiri seperti suhu air, tahap kemasinan, kejernihan air dan tahap kebersihannya, yakni tidak tercemar daripada sisa toksik dan kumbahan. Kualiti air di kawasan muara sentiasa berubah-ubah mengikut faktor pasang surut, angin dan turunan hujan.
Air yang terlalu jernih bukanlah keadaan yang selalu ideal kerana ia akan menyebabkan ikan lebih berhati-hati dan susah untuk diperdayakan. Air keruh yang mengalir dari hulu setelah turunan hujan yang lebat pula akan menyebabkan ikan berpindah ke laut atau ke kawasan perairan yang lebih masin.
Turunan hujan juga boleh menyebabkan sisa toksik dari darat seperti baja-baja ladang mengalir memasuki badan air. Pernahkah anda terdengar orang-orang tua berpesan “kalau musim peujanan jangan tah ke Bangau..”
Kenal pasti musim ikan yang diburu
Kawasan muara mempunyai spesies ikan yang pelbagai. Ada yang menghabiskan seumur hayatnya di sana, ada juga yang datang dan pergi mengikut musim. Bagi spesies bermusim ini, pemancing haruslah peka terhadap waktu dan tempohnya.
Cara yang paling senang adalah bertanya dengan otai-otai tempatan yang sememangnya sudah pakar, atau anda sendiri boleh membuat kajian atau catatan berdasarkan pengalaman anda sendiri.
Umpan terbaik
Adalah penting untuk mengenal pasti makanan yang biasa dimakan oleh spesies buruan anda di habitatnya sendiri. Meski terdapat ikan yang tidak cerewet memilih umpan, namun umpan terbaik adalah umpan hidup atau segar yang ditangkap atau diperoleh di kawasan tersebut, seperti udang, anak-anak ikan dan lain-lain, yang sememangnya menjadi sumber makanan ikan-ikan di sana.
Peralatan
Peralatan memancing ikan di muara tidak perlu rumit. Menggunakan ‘kirikan’ dengan tali mono berkekuatan 60lb ke atas, sama ada dengan batu ladung atau tidak, sudah memadai. Atau joran sekurang-kurangnya berkekuatan medium heavy panjang 5 ke 7 kaki yang digandingkan bersama reel saiz 2500-4000 dengan tali braided 30lb dan perambut mono atau fluoro 40lb-60lb. Yang penting cukup kuat untuk menahan asakan ikan yang cuba melarikan diri masuk ke struktur lebih-lebih lagi pada pecutan pertama.