Friday, March 28, 2025
32 C
Brunei

    Berita Terkini

    Panduan asas menggunakan baitcaster

    Oleh Raz AS

    Kebanyakan pemancing termasuk penulis sebelum berjinak-jinak dengan reel yang dikenali sebagai baitcaster lebih selesa menggunakan spinning reel.

    Ini kerana ia sangat mudah digunakan untuk membuat lontaran dan lain-lain. Setelah memperoleh sedikit keyakinan barulah penulis berganjak ke hadapan untuk mengenali lebih dekat lagi reel dikenali sebagai baitcaster ini.

    Meskipun sedikit lebih rumit daripada spinning reel, baitcaster adalah lebih versatil penggunaannya. Ia membolehkan pemancing untuk membuat lontaran lebih cepat dan tepat daripada menggunakan spinning reel. Walaupun begitu ia memerlukan kemahiran dengan banyak latihan untuk dikuasai.

    Tidak seperti spinning reel, baitcaster mempunyai teknologi seperti tension knob dan sistem pembrekan (braking systems) yang memerlukan set up mengikut kesesuaian, jika tidak pemancing akan berhadapan dengan masalah yang mengusutkan kepala, iaitu backlash, yang boleh mematikan minat seseorang pemancing itu untuk terus menggunakan baitcaster seperti yang banyak berlaku di kalangan rakan-rakan penulis sendiri.

    Backlash atau tali kusut berlaku apabila spool tali berputar lebih laju daripada jumlah tali yang keluar ketika lontaran dibuat.

    Sistem brek magnetik mempunyai tombol yang terletak pada bahagian luar sisi reel, manakala sistem centrifugal pula terletak pada bahagian dalam reel yang boleh diakses dengan membuka plat sisi baitcaster.

    Jika anda ingin berjinak-jinak dengan baitcaster, sebelum membuat keputusan untuk mendapatkannya, anda perlulah menanyakan beberapa soalan kepada diri anda sendiri. Adakah menggunakan baitcaster perlu dengan situasi keadaan padang pancing dan teknik pancingan anda? Adakah anda bersedia untuk meluangkan masa berlatih menggunakannya? Jika anda gagal mengawal backlash ketika berada di padang pancing kerana malas berlatih adakah ia lebih baik berbanding menggunakan spinning reel?

    Mengenali dengan lebih dekat

    Jika tekad anda sudah kuat untuk menggunakan baitcaster, perkara pertama yang anda perlu lakukan adalah untuk mengenali dengan lebih dekat baitcaster anda. Harga bukanlah faktor yang penting dalam memilih baitcaster yang sesuai untuk anda gunakan. Telitilah spesifikasi baitcaster agar ia sesuai dengan kaedah pancingan dan padang pancing, jangan terperangkap dengan permainan jenama dan harga.

    Kemudian, kenal pasti sistem pembrekan yang terdapat pada baitcaster anda. Sistem pembrekan baitcaster ada dua jenis iaitu sistem brek magnetik dan centrifugal. Sistem pembrekan magnetik mempunyai tombol yang terletak pada bahagian luar sisi reel, manakala sistem centrifugal pula terletak pada bahagian dalam reel yang boleh diakses dengan membuka plat sisi baitcaster. Baitcaster selalunya mempunyai salah satu daripada sistem tersebut ataupun kedua-duanya.

    Sistem brek ini akan memperlahankan putaran spool pada bahagian awal lontaran dibuat. Bagi permulaan set up sistem brek anda pada tahap maksimum agar terhindar daripada backlash. Kemudian sesuaikan tegangan dengan memutarkan tension knob yang terletak pada bahagian sisi yang sama dengan reel handle. Tension knob ini akan memberikan tekanan pada spool untuk memperlahankannya pada saat akhir lontaran dibuat.

    Setelah itu buat ujian dengan memegang joran lurus ke hadapan anda. Tekan punat release yang terletak pada bahagian bawah spool. Sesuaikan ketegangan sehingga umpan yang diikat pada hujung tali jatuh dengan perlahan dan lancar ke tanah tanpa mengakibatkan backlash.

    Setelah semua set up disesuaikan, sebelum membuat lontaran pastikan tali pada hujung joran tergantung kira-kira 8 ke 12 inci. Genggam erat rod handle, tekan punat release dan pada masa yang sama tahan spool dengan ibu jari agar tali tidak terkeluar. Bagi teknik lontaran terpulang pada anda sama ada untuk menggunakan teknik overhead atau sidecast.

    Tip penting bagi menggelakkan backlash, pastikan ibu jari tidak dilepaskan sepenuhnya ketika membuat lontaran. Berikan sedikit tekanan lembut pada spool dengan ibu jari anda dan tahan apabila umpan hendak mencecah jatuh ke permukaan.

    Jangan khuatir sekiranya lontaran pertama anda tidak jauh kerana menggunakan set up brek yang kuat. Teruskan berlatih dan perlahan-lahan melakukan eksperimentasi pada set up brek dan cara lontaran setelah anda mulai selesa membuat lontaran. Selamat mencuba.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda