Tuesday, April 29, 2025
29.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Panduan asas pancingan pantai

    Oleh Raz AS

    Pancingan pantai atau juga dikenali sebagai surfcasting merupakan aktiviti pancing sama ada di pantai berpasir atau tembok-tembok batu di pesisiran pantai sememangnya popular di negara ini yang kaya dengan pantai-pantainya yang indah.

    Buktinya sahaja, pada setiap hujung minggu atau hari-hari kelepasan awam, pantai-pantai di negara ini akan sibuk menerima kunjungan ramai untuk beriadah terutama daripada kalangan kaki-kaki pancing.

    Pada waktu-waktu beginilah kita akan melihat fenomena yang dikenali oleh pemancing tempatan sebagai ‘Turus Kacang’ yang merujuk kepada jumlah joran yang banyak terpacak rapat di pesisir pantai.

    Bagi pemancing-pemancing baharu yang ingin menceburkan diri dalam aktiviti pancingan pantai perlu mempunyai peralatan pancing yang bersesuaian. Meskipun objektifnya adalah sama iaitu untuk mendapatkan ikan, namun ia bukanlah semudah yang disangka terutama jika menggunakan peralatan yang kurang sesuai.

    Tidak menggunakan peralatan pancing yang sesuai semasa aktiviti pancingan pantai bukan bermakna mustahil bagi anda untuk mendapatkan ikan kerana sekadar menghulurkan umpan di celah-celah tembok batu pun boleh memberikan hasil yang memuaskan.

    Cacing wak-wak memang diakui efektif digunakan sebagai umpan untuk memburu ikan ketambak dan barah-barahan.
    Terdapat pelbagai jenis perambut yang boleh digunakan untuk teknik pancingan pantai sama ada menggunakan mata satu atau lebih.
    Joran yang panjang membolehkan anda membuat lontaran jauh ke kawasan yang lebih dalam.

    Akan tetapi dengan senjata yang lengkap akan meningkatkan peluang anda untuk menewaskan ikan-ikan bersaiz idaman.

    Joran

    Joran yang digunakan untuk aktiviti pancingan pantai adalah berbeza daripada joran yang digunakan bagi memancing di bot atau jeti. Anda tidak perlu berbelanja mahal, cukup sekadar menggunakan joran yang sekurang-kurangnya 9 kaki panjang dan ke atas. Lebih panjang adalah lebih baik kerana ini membolehkan anda membuat lontaran jauh ke kawasan yang lebih dalam di mana ikan-ikan besar selalu berada. Joran yang sesuai digunakan adalah daripada jenis fast action, tidak terlalu keras atau lembut dan mempunyai tulang belakang yang kuat untuk lontaran jauh dan lasak agar tidak mudah terpatah ketika membuat lontaran dengan batu ladung yang berat.

    Reel

    Reel yang digunakan haruslah daripada jenis yang tahan lasak bagi menahan asakan ikan-ikan bersaiz besar seperti pari dan lain-lain. Ia juga haruslah tahan air masin agar tidak mudah berkarat dan rosak akibat terkena air masin daripada percikan ombak, sebaik-baiknya bilas reel dengan air paip selepas setiap kali pulang daripada memancing dan servis reel sekurang-kurangnya tiga ke enam bulan sekali. Saiz reel yang sesuai digunakan adalah daripada saiz 4000 hingga 10000 bergantung pada kepanjangan joran yang digunakan serta mempunyai gelendung tali yang mampu mengisikan tali pancing yang panjang, sekurang-kurangnya 300 kaki ke atas.

    Tali utama

    Tali utama atau main line bolehlah digunakan daripada jenis monofilament atau jenis braided. Bagi penulis sendiri, pemilihan tali utama selalunya lebih bergantung pada ketebalan diameter tali berbanding daripada kekuatannya. Bagi jenis monofilament penulis menggunakan tali berkekuatan antara 30 hingga 50lb atau dalam lingkungan diameter kira-kira 0.45 milumeter ke bawah daripada jenis yang lembut seperti Lemax EX Steel dan Tomman Big Foot yang sememangnya menjadi kegemaran penulis sejak dahulu. Penulis lebih suka menggunakan tali monofilament berbanding braided bagi pancingan pantai kerana regangannya boleh menyelamatkan joran daripada terpatah ketika membuat lontaran kuat. Monofilament juga lebih mesra tangan kerana braided bersifat tajam dan boleh mengakibatkan kecederaan pada jari jika tidak berhati-hati. Namun tali braided yang lebih lembut daripada monofilament akan membolehkan pemancing membuat lontaran jauh dengan lebih senang, tali braided berkekuatan 30lb sudah memadai.

    Perambut

    Terdapat pelbagai jenis perambut yang boleh digunakan untuk teknik pancingan pantai sama ada menggunakan mata satu atau lebih. Namun yang popular digunakan adalah perambut mata satu kira-kira panjang setengah depa hingga sedepa. Penulis sendiri lebih suka menggunakan perambut panjang sedepa dengan batu hidup yang dimasukkan pada tali utama dan dihubungkan menggunakan kili-kili atau juga dikenali sebagai fish finder rig. Ketebalan tali perambut adalah mengikut spesis sasaran anda. Jika spesis yang diburu mempunyai mulut yang kasar atau gigi yang tajam gunakanlah perambut yang lebih tebal atau sambungkan perambut dawai kira-kira panjang sejengkal. Perambut bolehlah menggunakan tali jenis monofilament atau flourocarbon, penulis sendiri lebih suka membuat perambut daripada lebihan tali yang digunakan untuk mengisi reel bagi menjimatkan kos, ia sudah memadai untuk menumpaskan ikan-ikan seperti pari, bebatik, taweh, bekalang, pelayak dan lain-lain.

    Batu ladung

    Pengunaan batu ladung adalah berdasarkan kekuatan arus laut. Jika keadaan arus yang kuat atau keadaan berombak gunakan batu yang lebih berat. Batu ladung jenis piramid juga popular digunakan kerana ia akan memasti umpan tidak dihanyutkan. Batu jenis sauh yang mempunyai dawai di bawahnya juga boleh digunakan jika arus atau ombak terlalu kuat lebih-lebih lagi jika anda memancing dari kawasan pantai berpasir agar umpan yang lontar tidak dihanyutkan kembali ke pantai dek pukulan ombak.

    Mata kail

    Mata kail haruslah daripada jenis yang tajam dan kuat agar mudah tertancap kemas pada mulut ikan dan tidak mudah lurus ketika menahan asakan ikan bersaiz besar. Saiz mata kail juga bergantung pada saiz umpan yang digunakan dan spesies buruan anda. Jika anda ingin menggunakan mata kail yang sama untuk trip yang berlainan, gunakan mata kail jenis stainless steel agar ia tidak berkarat. Bagi pemancing yang jenis suka pakai buang seperti penulis sendiri, penulis lebih suka menggunakan mata kail Daiichi DX Soi saiz antara 15 hingga 20 kerana ketajaman dan kekuatannya. Ia sangat sesuai untuk digunakan bersama umpan udang hidup kerana batangnya yang halus dan beratnya yang ringan meningkat peluang agar umpan hidup lebih lama dan memudahkannya berenang dengan lebih natural. Namun kelemahan mata kail ini adalah mudah berkarat meski hanya beberapa jam menggunakannya.

    Umpan

    Pemilihan umpan adalah subjektif sama ada menggunakan krustasea, ikan, kerang-kerangan, sotong dan cacing pantai berdasarkan spesies sasaran, padang pancing dan ketersediaannya. Umpan yang popular digunakan di negara ini adalah umpan udang hidup atau mati dan hirisan isi ikan seperti rumahan, temanong, basong-basong, tamban dan aur-aur. Menggunakan umpan ikan yang tidak dipotong juga boleh digunakan kerana penulis sendiri lebih suka menggunakan umpan ikan yang tidak dipotong untuk memburu ikan pelayak dan bekalang ketika air ‘membulau’, semasa air jernih pula penulis akan menggunakan umpan udang hidup untuk memburu bebatik, taweh dan lain-lain.

    Tambahan lagi spesies pengacau umpan seperti kirong-kirong banyak berkeliaran di dasar semasa air keruh dan ‘membulau’ oleh itu penulis jarang menggunakan umpan udang hidup semasa keadaan itu kerana harganya yang mahal. Umpan daripada spesies cacing pantai seperti cacing wak-wak dan pumpun juga memang diakui efektif digunakan untuk memburu ikan ketambak dan barah-barahan.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda