Tuesday, March 25, 2025
23.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Panduan, kelebihan menjemur anak damit

    MENJEMUR anak damit yang baru lahir di bawah sinaran matahari pagi merupakan antara petua orang tua-tua yang menjadi amalan ibu bapa dari dulu sehingga kini.

    Amalan tersebut dikatakan bagus untuk mengelakkan anak damit daripada demam kuning atau jaundis.

    Sinaran matahari awal pagi memang baik untuk kesihatan termasuk kepada anak damit. Ia dikatakan mampu untuk memberikan kesan kesihatan secara semula jadi kepada badan.

    Bagi anak damit, ia berfungsi untuk menurunkan kadar bilirubin yang terlalu tinggi iaitu penyebab anak damit mengalami penyakit kuning atau jaundis.

    Jadi, dengan menjemur anak damit baru lahir seawal pagi adalah perkara yang sangat digalakkan.

    Menjemur anak damit yang baru lahir di bawah sinaran matahari pagi merupakan antara petua orang tua-tua yang menjadi amalan ibu bapa.
    Menjemur anak damit yang baru lahir di bawah sinaran matahari pagi merupakan antara petua orang tua-tua yang menjadi amalan ibu bapa.

    Antara kebaikan yang diperolehi daripada aktiviti itu adalah termasuk menurunkan kadar bilirubin dalam darah. Anak damit baru lahir mempunyai fungsi hati yang belum normal di mana ia menyebabkan kadar bilirubin yang dihasilkan dalam darahnya berada dalam keadaan tidak normal (terlalu tinggi).

    Di samping itu, menjemur anak damit juga boleh membuatkan tulang anak damit menjadi lebih kuat kerana cahaya mataharimengandungi vitamin D yang cukup tinggi iaitu baik untuk tulang dan membantu kalsium mudah diserap dalam darah.

    Aktiviti tersebut juga turut memberikan kesan kehangatan kepada anak damit. Sinar matahari pagi dapat memberikan kehangatan kepada anak damit dan ini membantu dia mengeluarkan lendir-lendir yang ada dalam lehernya.

    Sinar matahari juga dikatakan dapat membantu melepaskan hormon endorphin yang biasanya dikenali dengan hormon anti-depresi dalam badan anak damit.

    Bagaimanapun sebelum menjemur anak damit, anda perlu tahu cara yang betul supaya mendapat manfaatnya. Bimbang pula apabila kalau salah menjemur ia boleh memberikan kesan yang memudaratkan kepada anak damit..

    Pilih waktu yang tepat

    Waktu paling sesuai untuk menjemur anak damit adalah antara jam 7 hingga 8 pagi.

    Jemur anak damit lebih kurang 15 minit sahaja kerana kulit mereka masih sangat sensitif.Jangan jemur anak damit selepas pukul 8.00 pagi kerana ketika itu sinar matahari sudah mengandungi sinar ultraviolet.

    Jemur dalam keadaan tidak berbaju

    Hanya perlu pakaikan lampin pakai buang sahaja. Ia  bertujuan untuk memastikan dada anak damit terkena sinar matahari sehingga dapat membantu melonggarkan pernafasannya.

    Menterbalikkan badan anak damit

    Sebaiknya semasa menjemur anak damit, cuba terbalikkan bahagian badan anak damit depan ke belakang supaya semuanya terkena sinar matahari.

    Elakkan mata anak damit terkena sinar matahari

    Jangan sesekali mendedahkan mata anak damit anda pada cahaya matahari untuk mengelakkan daripada risiko kerosakan kanta atau retina matanya.

    Pilih lokasi sesuai

    Sebaiknya aktiviti menjemur anak damit dilakukan di tempat yang terlindung seperti di bawah pokok atau tepi rumah tetapi masih ada sedikit pancaran matahari. Jangan jemur secara langsung terus kepada sinar matahari tanpa sebarang perlindungan.

    Awasi bahaya hipertemi

    Suhu ideal bagi seorang anak damit adalah antara 36.5° C – 37.5° C. Sekiranya semasa anda hendak menjemur anak damit di awal pagi, keadaan sinar matahari agak terik, ia boleh menimbulkan kesan hipertemi (peningkatan suhu badan) dalam diri anak damit.

    Hipertemi boleh menyebabkan gangguan pada fungsi organ badan anak damit seperti otak, sistem metabolisme badan anak damit. Jadi, elakkan daripada menjemur mereka jika suhu berada dalam keadaan terlalu panas daripada biasa.

    Jangan biarkan anak damit sendirian

    Jangan tinggalkan anak damit anda sendirian semasa aktiviti menjemurnya seperti anda membaringkannya di satu sudut dalam rumah yang terdedah kepada sinaran matahari dan membiarkan anak damit anda di situ bersendirian.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda