Sabtu, 22 November 2025
28.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Panduan piawaian produk belacan diperkenal

    BANDAR SERI BEGAWAN, 6 MAC – Kementerian Sumber-sumber Utama dan Pelancongan (KSSUP) melalui Jabatan Perikanan dengan kerjasama Kementerian Kewangan dan Ekonomi (MOFE), melalui Pusat Standard Kebangsaan (PSK), telah mengadakan Majlis Pembarigaan bagi PBD 45:2023 – Piawai Brunei Bagi Produk Belacan di Dewan Setia Pahlawan, KSSUP, kelmarin.

    Hadir selaku tetamu kehormat ialah Timbalan Setiausaha Tetap di KSSUP, Haji Mohammad Yusree bin Haji Junaidi. Turut hadir ialah Timbalan Setiausaha Tetap (Perdagangan dan Industri) di MOFE, Awang Mohammad Harris bin Brigadier General (B) Dato Paduka Haji Ibrahim; Pengarah Bahagian Industri dan Ekosistem Perniagaan, MOFE, Allen On Hsien Yung, selaku Pemangku Pengarah PSK; dan Pemangku Pengarah, Jabatan Perikanan, KSSUP, Hajah Wanidawati binti Haji Tamat.

    Majlis dimulai dengan ucapan alu-aluan daripada Hajah Wanidawati, di mana dalam ucapannya memaklumkan peranan Jabatan Perikanan dalam pembangunan standard makanan adalah untuk memastikan menyediakan pemahaman bersama mengenai skop standard, produk, penerangan, komposisi penting, faktor kualiti, bahan tambahan makanan, kebersihan dan pengendalian, keperluan pelabelan, kaedah pensampelan, pemeriksaan dan analisis.

    Beliau seterusnya menambah bahawa PBD 45:2023 diharapkan akan dapat berfungsi sebagai rujukan bagi pengusaha makanan tempatan dan semua pihak berkepentingan termasuk pengimport, pengeksport, penyelidik akademik, pembuat dasar dan masyarakat umum yang terlibat dalam pelbagai aspek rantaian bekalan makanan.

    Majlis pembarigaan ini bertujuan untuk memperkenalkan piawai Brunei Darussalam di bawah PBD 45:2023 iaitu mengenai Piawai Brunei bagi Produk Belacan dan di samping itu, memberikan panduan dalam penghasilan produk belacan dan kefahaman lebih mendalam mengenai dengan definisi produk belacan, komposisi utama bahan mentah, kriteria kualiti produk, cara pembuatan yang selamat dengan mengutamakan kebersihan bagi memastikan produk belacan adalah selamat daripada pencemaran dan selamat untuk dimakan oleh orang awam.

    Majlis turut dihadiri oleh pihak-pihak yang berkepentingan dari pelbagai jabatan kerajaan, institusi-institusi pengajian tinggi dan syarikat-syarikat pemprosesan makanan laut. Majlis diakhiri dengan pameran buku PBD 45:2023 dengan aspirasi untuk merealisasikan inisiatif Jabatan Perikanan dan PSK.

    Haji Mohammad Yusree semasa menghadiri majlis pembarigaan tersebut di Dewan Setia Pahlawan, KSSUP, baru-baru ini. – GAMBAR OLEH LYNA MOHAMAD
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda