Oleh Amri HTZ
Memiliki alatan khusus untuk menyelesaikan sesebuah projek amat penting dalam memastikan rekaan dapat disempurnakan.
Alat seperti pengapit banyak membantu untuk mengekalkan kedudukan sesuatu material ketika ia dikendalikan terutama yang memerlukan masa yang lama untuk bercantum.
Mendapatkannya dengan membelinya amat mudah namun memerlukan kos yang besar.
Oleh itu, projek ini akan membawa awda menyusuri langkah pembuatan panel pengapit yang cukup mudah untuk dilakukan.
Sedia barangan lebih awal
Mesin circular saw
Mesin gerudi
Papan melamina
Papan lapis ¾ inci
Dowel 3/8 inci
Skru 1¼ inci
Pita perekat
Sesiku
Pita pengukur
Mesin router
Mesin pemotong kayu meja
Ukur dan potong papan melamina
Papan melamina tersedia terlebih dahulu dipotong dengan ukuran diperlukan iaitu 26 x 30 inci. Besar keseluruhan papan yang tidak terlalu besar adalah bagi memastikan ia mudah untuk dialih dari satu tempat ke satu tempat yang lain. Tandakan permukaan kayu dengan garisan sebagai panduan bagi langkah pemotongan. (gambar 2)
Bagi langkah pemotongan, gunakan mesin pemotong kayu circular atau meja. Tetapkan kedudukan rip fence dari bilah mesin dengan ukuran diperlukan bagi mendapatkan potongan yang sama rata untuk keseluruhan sudut. (gambar 3)
Permukaan papan melamina memerlukan lubang-lubang kecil untuk menetapkan pasak secara sementara bagi menetapkan kedudukan material yang hendak dicantumkan nanti.
Oleh itu sebelum proses penebukannya, tandakan kedudukan lubang-lubang diperlukan dengan pita perekat digunakan untuk memastikan permukaan rekaan kekal bersih. (gambar 4)
Jarak antara 2 hingga ke 3 inci disarankan di mana tujuh lubang mendatar dan tujuh lubang menegak akan direka (jarak setiap satu 3 inci). Namun pastikan awda memerikan ruang 5 inci pada bahagian sisi rekaan dan 9 inci pada bahagian atas dan bawah di antara sudut kayu dan lubang pertama yang hendak ditebuk. (gambar 5)
Tebuk lubang untuk kayu pasak
Setelah menandakan kedudukan lubang diperlukan, tebuk menggunakan mata gerudi bersesuaian dengan diameter kayu pasak (dowel) yang akan digunakan. Diameter mata gerudi perlu sedikit besar dan tidak terlalu longgar untuk memastikan langkah memasukkan dan mengeluarkan pasak tersebut mudah. Ini diikuti dengan
menanggalkan pita perekat pada permukaan kayu untuk langkah seterusnya. (gambar 6)
Dalam memudahkan lagi langkah memastikan kayu pasak ke lubangnya, permukaan lubang pada papan rekaan akan dibesarkan sedikit atau dibulatkan menggunakan panel pilot bit. Langkah ini juga memastikan melamina pada pinggir lubang yang ditebuk tidak rosak ketika pasak dikeluarkan. (gambar 7)
Potong kayu penyangga
Untuk memastikan material dicantumkan kekal pada kedudukan ketika kayu pasak dimasukkan, kayu penyangga akan dipotong dan ditetapkan pada hujung bahagian bawah rekaan. Papan lapis berukuran ¾ inci akan digunakan pada langkah ini dengan panjang yang sama dengan rekaan dan lebar lebih kurang 4 inci. (gambar 8)
Reka kayu sendal
Dalam mengetatkan cantuman, kayu sendal akan dimasukkan di antara kayu pasak dan material. Oleh itu ini memerlukan awda memotongkan kayu dengan bentuk V. Mulakan dengan menandakan kayu dengan garisan diagonal berukuran ½ inci pada bahagian hujung kayu diikuti dengan ½ inci pada kedudukan berbalas. (gambar 9)
Permukaan kayu yang telah ditandakan kemudiannya akan dipotongkan menggunakan mesin gelung. Jika permukaan potongan tidak rata, awda boleh menggosoknya menggunakan kertas pasir yang diletakkan pada permukaan yang rata. (gambar 10)
Pilih pasak kayu berkualiti
Memandangkan pasak kayu yang digunakan akan menahan bebanan ketika kayu sendal dimasukkan, pastikan awda memilih kayu yang cukup berkualiti yang tidak mudah patah.
Kayu pasak tersedia kemudiannya akan dipotong dengan panjang lebih kurang 5 inci menggunakan gergaji. Dengan pasak yang terpotong, kini awda boleh mengetatkan dan mengekalkan kedudukan cantuman kayu dengan menetapkan kedudukannya bersama kayu sendal. (gambar 11)
Tip
Papan melamina amat disarankan untuk digunakan memandangkan permukaannya yang tidak mudah melekat dengan gam kayu yang meleleh daripada langkah mencantumkan kayu.
Pilih kayu yang hendak direka menjadi sendal daripada kayu berkualiti bagi memastikannya tidak mudah rosak ketika ditukul masuk.