Friday, January 24, 2025
23.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Panel solar balkoni kian popular di Jerman

    BERLIN – Ketika salji turun perlahan-lahan dan hinggap di panel solar balkoni pada hari musim sejuk yang dingin, Jens Sax, seorang penduduk Berlin, memeriksa telefonnya untuk melihat berapa banyak elektrik yang dihasilkan oleh panel tersebut.

    Jumlahnya agak sederhana ketika itu, kata Sax, yang mengaku ketagih dengan notifikasi telefon yang memantau pengeluaran panelnya. “Namun, kami telah berjimat sebanyak 79 euro sejak memasangnya pada bulan Ogos,” tambahnya.

    Data rasmi menunjukkan lebih 800,000 kit seperti itu telah dipasang di Jerman menjelang akhir 2024, didorong oleh subsidi dan keinginan untuk berjimat di tengah kos tenaga yang tinggi.

    Angka tersebut lebih daripada dua kali ganda jumlah pada tahun sebelumnya dan 10 kali lebih banyak daripada tahun 2022.

    EmpowerSource, sebuah firma perunding, menganggarkan bahawa tiga juta kit kini beroperasi di seluruh negara, termasuk yang tidak didaftarkan secara rasmi.

    Sebanyak tiga juta panel solar balkoni kini beroperasi di Jerman, menurut EmpowerSource, sebuah firma perunding, dengan 700,000 kit seumpamanya dipasang pada 2024, lebih dua kali ganda jumlah pada 2023 dan 10 kali ganda angka tersebut untuk 2022. – AFP
    Sebahagian daripada panel solar balkoni di sebuah rumah persendirian di Berlin pada 3 Januari lalu. – AFP
    Gambar AFP
    Gambar AFP

    Jumlah pemasangan mungkin dianggarkan kurang daripada yang sebenar, kata Leonhard Probst, seorang penyelidik di Fraunhofer Institute for Solar Energy Systems, kerana kit ini sering tidak didaftarkan.

    Lebih murah daripada panel solar di atas bumbung dan mudah dipasang panel ini hanya perlu disambungkan ke soket kuasa panel solar balkoni semakin popular ketika Jerman berusaha beralih kepada tenaga boleh diperbaharui.

    Ekonomi terbesar Eropah itu menyasarkan 80 peratus penggunaan tenaga kasar daripada sumber boleh diperbaharui menjelang 2030, meningkat daripada 59 peratus pada 2024.

    Tenaga solar menyumbang 14.6 peratus daripada bekalan elektrik Jerman tahun lalu.

    Walaupun jauh lebih kurang berkuasa daripada panel bumbung, kit solar balkoni hanya memenuhi sebahagian keperluan tenaga isi rumah dan digunakan untuk tugasan seperti mengecas komputer atau menghidupkan mesin basuh pinggan.

    Probst menganggarkan kit ini hanya menyumbang kira-kira dua peratus daripada hampir 100 gigawatt jumlah kapasiti solar Jerman, tetapi dia menjangkakan bahagian itu akan meningkat dan percaya kit tersebut boleh mempercepatkan penggunaan tenaga solar secara lebih meluas.

    “Timbulnya kesan pendidikan, ia memperkenalkan lebih ramai orang dengan tenaga solar dan mungkin mendorong mereka untuk melabur dalam sistem yang lebih berkuasa,” katanya.

    Oliver Lang, yang berpangkalan di Berlin dan merupakan ketua syarikat kit solar Sonnenrepublik, berkata firma itu telah berkembang dalam beberapa tahun kebelakangan ini berikutan pandemik COVID-19 dan perang di Ukraine.

    “Pada mulanya ia adalah pasaran yang kecil, permintaan sangat sedikit apabila kami mula menjualnya enam tahun lalu,” katanya.

    “Ia bermula semasa COVID apabila orang ramai mempunyai lebih masa lapang, kemudian perang di Ukraine bermula dan timbul kebimbangan kekurangan bekalan elektrik, seterusnya subsidi diperkenalkan.”

    Pihak berkuasa bandar Frankfurt memberikan Christoph Stadelmann, seorang guru berusia 60 tahun, separuh daripada kos 650 euro (AS$676) yang dibayarnya untuk kit itu pada awal tahun lalu.

    Stadelmann menjangkakan dia akan mendapatkan kembali pelaburannya dalam tempoh tiga tahun.

    “Panel bumbung biasa, sistem yang lebih berkuasa, bermula dari kira-kira 15,000 euro,” kata Lang dari Sonnenrepublik. “Ia akan mengambil masa 15 tahun untuk membayar balik kosnya.”

    Harga tenaga di Jerman telah stabil selepas puncaknya pada tahun 2022 tetapi masih antara yang tertinggi di Eropah.

    Tinjauan pendapat menunjukkan bahawa kos sara hidup adalah salah satu kebimbangan utama pengundi menjelang pilihan raya parlimen pada 23 Februari.

    Penjimatan kos lebih penting daripada kebimbangan terhadap alam sekitar dalam keputusan Sax untuk memilih panel solar balkoni, katanya.

    Langkah kerajaan telah menyokong keadaan melambung ini. Pemilik kit kini tidak perlu lagi mendaftarkan peranti mereka. Mereka yang tinggal di pangsapuri boleh menggunakannya tanpa memerlukan kebenaran daripada pemilik atau pengurus bangunan.

    Peraturan yang menyokong adalah sebab utama Jerman beralih kepada panel solar balkoni, dengan penggunaannya jauh di depan negara-negara Eropah lain, kata Christian Ofenheusle, pengasas EmpowerSource.

    Mirjam Sax, isteri Jens, berkata dia akan mengesyorkan panel solar balkoni walaupun dengan cuaca Jerman yang kadangkala mendung.

    “Jika awda ada balkoni, jika awda ada sedikit cahaya matahari, awda boleh memasang satu atau dua panel untuk melihat sama ada ia berbaloi,” katanya. “Ia mudah dan ada harga untuk setiap bajet.” – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda