Jumaat, 21 November 2025
24.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Panel solar terapung jana tenaga hijau

    TANGIER – Maghribi yang bergelut dengan kemarau sejak beberapa dekad telah melancarkan projek perintis yang bertujuan untuk memperlahankan penyejatan air sambil menjana tenaga hijau secara serentak menggunakan panel solar terapung.

    Di takungan utama berhampiran bandar utara Tangier, beribu-ribu panel yang dipanggil floatovoltaic melindungi permukaan air daripada terik matahari dan menyerap cahayanya untuk menjana elektrik.

    Pihak berkuasa merancang untuk menggerakkan kompleks pelabuhan Tanger Med yang bersebelahan dengan tenaga yang terhasil dan jika ia membuktikan kejayaan, teknologi itu boleh memberi implikasi yang lebih luas kepada kerajaan Afrika Utara itu.

    Menurut jumlah rasmi, rizab air Maghribi kehilangan bersamaan dengan lebih 600 kolam renang bersaiz Olimpik setiap hari akibat penyejatan antara Oktober 2022 dan September 2023.

    Sepanjang tempoh yang sama, suhu purata 1.8 darjah celsius lebih tinggi daripada biasa, bermakna air menyejat pada kadar yang lebih tinggi.

    Gambar fail bertarikh 19 Oktober 2022 menunjukkan pemandangan panel solar terapung di dalam takungan air di Le Kram, di pinggir timur ibu negara Tunisia. – AFP
    Gambar menunjukkan pemasangan solar terapung di empangan Oued Rmel, di wilayah Fahs-Anjra, barat bandar Tangiers. – AFP
    Gambar AFP
    Gambar AFP

    Di samping faktor lain seperti penurunan hujan, ia telah mengurangkan takungan di seluruh negara itu kepada kira-kira satu pertiga daripada kapasitinya.

    Pegawai Kementerian Air, Yassine Wahbi berkata takungan Tangier kehilangan kira-kira 3,000 meter padu sehari akibat penyejatan, tetapi jumlah itu lebih daripada dua kali ganda pada bulan-bulan musim panas.

    Panel solar terapung boleh membantu mengurangkan penyejatan sebanyak kira-kira 30 peratus, katanya.

    Kementerian Air berkata, panel solar terapung mewakili keuntungan penting dalam konteks sumber air yang semakin terhad, walaupun proses penyejatan yang mereka hentikan buat masa ini agak kecil.

    Kajian penilaian sedang dijalankan untuk dua lagi projek serupa di Oued El Makhazine, salah satu empangan terbesar Maghribi di utara dan di Lalla Takerkoust berhampiran Marrakesh.

    Teknologi serupa sedang diuji di Perancis, Indonesia dan Thailand, manakala China sudah mengendalikan beberapa ladang solar terapung terbesar di dunia.

    PERINTIS

    Sejak program perintis Maghribi bermula lewat tahun lalu, lebih 400 platform terapung yang menyokong beberapa ribu panel telah dipasang.

    Kerajaan mahukan lebih banyak lagi, merancang untuk mencapai 22,000 panel yang akan meliputi kira-kira 10 hektar di takungan Tangier seluas 123 hektar.

    Setelah siap, sistem itu akan menjana kira-kira 13 megawatt elektrik, cukup untuk menjana kuasa kompleks Tanger Med.

    Pihak berkuasa juga mempunyai rancangan untuk menanam pokok di sepanjang tebing takungan bagi mengurangkan angin, dipercayai memburukkan lagi penyejatan.

    Profesor Sains Iklim, Mohammed-Said Karrouk menyebutnya sebagai projek ‘perintis.’

    Bagaimanapun, dia berkata takungan itu terlalu besar dan permukaannya terlalu tidak teratur untuk ditutup sepenuhnya dengan panel terapung, yang boleh rosak dengan paras air yang berubah-ubah.

    Data rasmi menunjukkan rizab air menerusi turunan air hujan telah menurun hampir 75 peratus pada tahun lalu berbanding

    dengan 1980an, menurun daripada purata tahunan 18 bilion meter padu kepada hanya lima.

    Maghribi setakat ini sangat bergantung pada proses penyingkiran garam untuk menangani kekurangan air, dengan menghasilkan kira-kira 320 juta meter padu air boleh diminum setahun.

    Pihak berkuasa menyasarkan untuk mengembangkan pengeluaran kepada 1.7 bilion meter padu setiap tahun menjelang 2030.

    Karrouk berkata, tindakan segera adalah untuk memindahkan lebihan air dari empangan utara ke wilayah di tengah dan selatan Maghribi yang lebih terjejas oleh kemarau selama bertahun-tahun.

    Kerajaan Maghribi sudah mempunyai sistem yang digelar ‘lebuh raya air,’ terusan sepanjang 67 kilometer yang menghubungkan lembangan Sebou ke ibu negara Rabat, dengan rancangan untuk mengembangkan rangkaian ke empangan lain. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda